UMNO Johor beri amaran DAPSY jangan ganggu kuasa PBT

 

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) didakwa menunjukkan wajah sebenar politik sempit apabila mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengarahkan penutupan sebuah kelinik pergigian selama 30 hari kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md. Israk Abdullah berkata, kenyataan DAPSY bukan sahaja dangkal dari segi undang-undang, malah memperlekehkan institusi penguatkuasaan kerajaan tempatan serta prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas demokrasi negara.

“Semua pihak mesti menghormati bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak mengganggu proses undang-undang. 

"Kedaulatan undang-undang bermaksud undang-undang mengikat semua pihak tanpa pengecualian,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau yang juga Ketua Whip MPPn menegaskan tindakan MPPn adalah berlandaskan undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, justeru kuasa itu jelas termaktub dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak, apatah lagi parti politik yang cuba mencari modal murahan menjelang sambutan kemerdekaan.

“Campur tangan politik hanya akan melemahkan institusi penguatkuasaan dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keadilan serta integriti pentadbiran kerajaan tempatan,” katanya.

Md. Israk berkata, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain sebaliknya lambang maruah, perpaduan dan kedaulatan negara, justeru mana-mana pihak yang cuai dalam pemasangan bendera wajar dikenakan tindakan tanpa kompromi.

“Tindakan tegas MPPn menjadi peringatan kepada semua bahawa penghinaan atau kecuaian terhadap bendera negara tidak boleh dibiarkan berulang,” katanya.

Beliau menambah, arahan penutupan premis selama 30 hari membuktikan keseriusan PBT melaksanakan amanah undang-undang serta menjaga kehormatan simbol negara.

“Jika tiada ketegasan, ia akan mewujudkan preseden buruk di mana kesalahan sebegini dianggap remeh, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak penghinaan terhadap Jalur Gemilang,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakan itu juga membawa mesej pendidikan kepada generasi muda bahawa menghormati Jalur Gemilang adalah tanggungjawab bersama yang mesti dipupuk sejak kecil.

“Kesalahan melibatkan penghinaan terhadap Jalur Gemilang mesti ditangani dengan tegas demi menjaga maruah negara,” katanya.

Md. Israk menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama memelihara kedaulatan Jalur Gemilang menjelang ulang tahun kemerdekaan ke-68.

“Janganlah kita gadaikan maruah negara hanya kerana permainan politik sempit yang tidak memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan