DAPSY jangan biadab, tegas Pemuda PAS Johor

 


Dewan Pemuda PAS Johor menyatakan sokongan terhadap tindakan tegas Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang telah mengarahkan penutupan sementara sebuah premis pergigian swasta selama 30 hari, setelah terbukti mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Ketua Penerangannya, Mohamad Firdaus Adnan berkata, perbuatan tersebut merupakan tindakan biadab, apatah lagi dilakukan dalam mana negara akan menyambut kemerdekaan 31 Ogos ini, sepatutnya Jalur Gemilang menjadi lambang kesatuan rakyat Malaysia.

"Kami membantah dengan keras desakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang mahu Kerajaan Negeri Johor campur tangan bagi menarik balik tindakan tersebut. 

"Kenyataan DAPSY jelas memperlihatkan sikap mereka yang tidak menghormati undang-undang tempatan dan perasaan rakyat Malaysia yang cintakan negara serta bendera kebangsaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Firdaus berkata, tindakan MPPn adalah wajar dan tepat demi memastikan tiada pihak sewenang-wenangnya mempermainkan simbol kedaulatan negara.

Tegasnya, DAPSY perlu berhenti mempertahankan kesalahan jelas, sebaliknya mendidik masyarakat agar lebih patriotik dan menghormati Jalur Gemilang.

"Kami akan terus bersama mana-mana pihak dalam memastikan bendera kebangsaan dihormati oleh semua masyarakat tanpa kompromi.

"Kami menegaskan, komitmen untuk mempertahankan kehormatan agama, bangsa dan negara daripada sebarang tindakan yang boleh mencemarkan maruah kedaulatan Malaysia," katanya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan