Pemuda UMNO Pahang kesal dan memandang serius kenyataan melulu serta tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Ahli MKT UMNO, Datuk Lokman Noor Adam terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh.
Ketuanya, Kamil Ibrahim berkata, tuduhan fitnah yang dilemparkan bukan sahaja tidak berasas, malah meletakkan Lokman sebagai liabiliti terbesar kepada UMNO dan semakin menyerlahkan peranannya sebagai barua kepada pihak lawan.
Menurut beliau, sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Pengarah Komunikasi UMNO, seharusnya Lokman menjadi benteng memperkukuhkan imej parti.
"Namun realitinya, setiap kali beliau bersuara, bukan sahaja tiada manfaat dibawa kepada parti, malah hanya menambahkan bala, menghakis keyakinan rakyat serta menyakitkan hati akar umbi.
"Apa yang keluar dari mulut Lokman hanyalah retorik kosong yang merosakkan maruah UMNO, menjadikan beliau seolah-olah jurucakap parti lain yang kerja utamanya menghentam pemimpin sendiri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sebaliknya, Kamil berkata, Dr. Akmal telah membuktikan keberanian dan keikhlasan dalam memperjuangkan maruah bangsa, agama dan negara.
Katanya, beliau membawa pembaharuan dalam UMNO yang lebih segar, diyakini akar umbi serta rakyat seluruhnya.
"Jika dibandingkan dengan sosok Dr. Akmal yang membina, Lokman lebih jelas hanya menghancurkan," jelasnya.
Kamil menambah, Pemuda UMNO Pahang menegaskan bahawa UMNO tidak boleh terus dibebani dengan liabiliti bernama Lokman Adam.
"Kami menyeru UMNO Bahagian Wangsa Maju untuk mengambil tindakan tegas menolak politik sempit yang dibawa olehnya, malah menggesa UMNO Pusat agar mengkaji semula kedudukan serta jawatan yang diberikan kepadanya.
"UMNO memerlukan pemimpin yang berwibawa, berjiwa besar dan mampu membawa parti kembali relevan, bukan individu yang hanya tahu memecahbelahkan saf perjuangan," katanya.
Katanya, UMNO sedang berada di landasan kebangkitan.
Namun, katanya, kebangkitan itu tidak akan tercapai sekiranya masih ada duri dalam daging yang memilih untuk menjadi barua dan pengkhianat dari dalam.
"Pemuda Pahang memberi amaran tegas cukup-cukuplah Lokman Adam menjadi beban.
"UMNO perlukan penyatuan, bukan perosak yang semakin hari semakin menjauhkan rakyat daripada parti," tegasnya.
0 Ulasan