Akar umbi UMNO masih belum dapat terima DAP

 

Isu penolakan akar umbi UMNO terhadap DAP masih menjadi cabaran utama dalam kerjasama politik Kerajaan Perpaduan sejak ia ditubuhkan sehingga kini. 

Walaupun pimpinan UMNO, khususnya di peringkat pusat, telah membuat keputusan politik untuk bersama Pakatan Harapan, sentimen di bawah masih sarat dengan perasaan curiga dan  syak wasangka. 

Tiada apa yang mengejutkan kerana bertahun-tahun lamanya UMNO dan DAP berlaga angin sebagai musuh politik, sehingga menyebabkan penyokong kedua-dua parti sukar untuk tidur sebantal.

Akar umbi UMNO sering mengaitkan parti cauvinis DAP dengan isu dominasi kaum, hak istimewa Melayu dan agama Islam. 

Walaupun DAP di bawah kepimpinan Anthony Loke berusaha menjenamakan semula parti itu dengan imej sederhana, stigma lama yang berbau cauvinistik masih melekat. 

Ramai ahli UMNO berpandangan bahawa kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan lebih berbentuk paksaan politik untuk mempertahankan kuasa berbanding keserasian ideologi. 

Kelemahan komunikasi politik Kerajaan Perpaduan dalam menjelaskan rasional kerjasama juga menambahkan rasa tawar hati dalam kalangan penyokong UMNO.

Bagi pimpinan UMNO, kerjasama dengan DAP adalah langkah strategik untuk menjamin kelangsungan parti selepas kekalahan teruk pada PRU15. 

Tetapi bagi akar umbi, ia dianggap sebagai pengkhianatan kepada prinsip perjuangan menolak DAP yang mereka pertahankan selama ini. 

Jurang pemahaman antara elitis parti dan ahli bawahan semakin jelas apabila pimpinan menekankan kepentingan kestabilan kerajaan, sedangkan penyokong melihatnya sebagai kompromi yang terlalu besar.

Dari sudut politik, dilema hubungan dengan DAP boleh memberi kesan langsung terhadap UMNO pada pilihan raya negeri dan umum akan datang. 

Jika pimpinan gagal menjelaskan kerjasama ini secara meyakinkan, UMNO berisiko kehilangan sokongan tradisionalnya di kawasan majoriti Melayu. 

Pada masa yang sama, UMNO juga tidak boleh mengharapkan sokongan penuh pengundi bukan Melayu yang masih lebih condong kepada DAP dan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan.

Persoalan besar adalah sejauh mana UMNO sanggup berkorban demi mengekalkan kedudukan dalam kerajaan, dan apakah parti nasionalis Melayu itu mampu menyesuaikan naratif perjuangannya agar selari dengan realiti politik semasa. 

Jika UMNO gagal menguruskan persepsi akar umbi, bukan sahaja sokongan boleh terhakis, malah kewujudan parti itu sebagai tunggak politik Melayu boleh terjejas.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan