Konflik antara PAS dan Bersatu yang kini meleret kepada isu dana pilihan raya menimbulkan persoalan besar tentang keutuhan Perikatan Nasional (PN) sebagai gabungan politik.
Sindiran pedas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Bersatu dalam Muktamar PAS 2025 minggu lalu jelas menunjukkan retaknya hubungan dua parti utama blok pembangkang itu.
Serangan balas daripada bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad lebih memburukkan keadaan.
Beliau bukan sekadar mempertahankan partinya, malah melemparkan tuduhan yang menguji integriti PAS sendiri.
Pertama, dakwaan bahawa PAS tidak tahu berterima kasih selepas Bersatu berkorban menyediakan dana hingga parti itu meraih 43 kerusi pada PRU lalu.
Dakwaan ini secara langsung merendahkan kedudukan PAS, seolah-olah kemenangan mereka tidak datang daripada kekuatan sendiri, tetapi bergantung kepada duit Bersatu.
Kedua, persoalan lebih serius menyentuh soal sumber dana. Marzuki mengungkit kemungkinan PAS menutup mata terhadap asal usul wang pilihan raya Bersatu.
Apakah ia daripada sumber halal atau sebaliknya bersandarkan rasuah dan salah guna kuasa?
Kenyataan ini semakin berat apabila dikaitkan dengan pengakuan terbuka Tan Sri Annuar Musa mengenai pengalaman pada PRN Sabah 2020, apabila beliau mendakwa melihat duit 'berlonggok atas katil' dalam bilik hotel Muhyiddin.
Apabila Marzuki menyebut bahawa sekurang-kurangnya RM1 juta diperlukan untuk menggerakkan satu kerusi parlimen, ia membuka mata tentang bagaimana PN mampu berkempen secara mewah pada PRU15 walaupun baru ditubuhkan.
Persoalan utama kini bukan sekadar perbalahan dalaman PAS-Bersatu, tetapi dari mana datangnya sumber dana besar itu, dan sejauh mana parti-parti dalam gabungan tersebut bersikap telus.
Dari sudut politik, sengketa ini memberi kesan besar terhadap imej PN. Serangan terbuka antara dua sekutu utama bukan sahaja menjejaskan persepsi penyokong, malah mendedahkan kelemahan asas dalam pakatan tersebut.
Ia juga memberi ruang kepada lawan politik untuk menimbulkan persoalan lebih besar tentang integriti dan kelangsungan PN sebagai gabungan yang mahu tampil bersih dan berlandaskan prinsip Islam serta Melayu.
Isu ini memperlihatkan bahawa gabungan politik yang dibina atas kepentingan bersama tetapi tanpa ketelusan mudah retak apabila diuji oleh faktor wang dan kuasa.
Sengketa PAS-Bersatu kini bukan lagi soal siapa lebih dominan, tetapi sudah menyentuh persoalan moral dan keabsahan perjuangan mereka di mata rakyat.
0 Ulasan