UMNO WP mahu Fahmi ganti Zaliha

 

UMNO Wilayah Persekutuan mengesyorkan Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu.

Ketua Penerangannya, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim turut mencadangkan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Bidin, dilantik sebagai Senator.

“Ini masalah kita bila dapat pemimpin yang bukan dari Wilayah Persekutuan sendiri, Supol (Setiausaha Politik) (Nor Azrina Surip) dari Kedah, Menteri (Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa) pula dari Johor.

“Saya ingin cadangkan YB Datuk Fahmi Fadzil menjadi Menteri Wilayah Persekutuan atau naikkan Datuk Azman Bidin Supol PMX sebagai Senator yang merupakan anak jati Wilayah Persekutuan.

“(Ia boleh dilakukan) bila rombakan Kabinet berlaku pada hujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan UMNO Bahagian Batu memutuskan hubungan politik dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Parlimen Batu dan Wilayah Persekutuan berhubung isu pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Gulam Muszaffar menjelaskan langkah itu dibuat bagi mempertahankan hak seperti termaktub dalam pekeliling rasmi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikeluarkan Dr Zaliha sebelum ini.

Beliau pada masa sama membidas Setiausaha Politik kepada Dr Zaliha kerana didakwa tidak pernah mengendahkan UMNO Wilayah Persekutuan hingga menokok-tambah namanya.

“Sama saya yang disebut di dalam kenyataan adalah salah, sejak bila ayah dan ibu saya memberi nama muszaffar ‘shah’.

“Ini menunjukkan kualiti Setiausaha Politik Yang Berhormat Menteri WP. Hentam kromo aje dan ini bukti dia sendiri tidak pernah ambil peduli tentang UMNO bila nama pemimpin pun salah disebut,” katanya.

Selain itu, Gulam Muszaffar turut menempelak kenyataan Setiausaha Politik kepada Dr Zaliha yang mendakwa keputusan UMNO Bahagian Batu itu sekadar perjuangan bersifat individu.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan