PN amalkan politik buruk siku - Mahfuz

 


Perikatan Nasional (PN) didakwa mengamalkan politik buruk siku ekoran pertikaman lidah antara pemimpin-pemimpin Bersatu dan PAS berhubung kos Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden Parti Amanah Negara, Mahfuz Omar berkata, percanggahan tersebut jelas menunjukkan rapuhnya kerjasama PN yang saling mengungkit sumbangan.

“Kalau kos pilihan raya pun PN tak sehaluan, bayangkan bila pegang negara. 

"Malaysia bukan selamat, tapi Malaysia hancur dalam perebutan kuasa,” katanya dalam kenyataan media, baru-baru ini.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa PAS yang menanggung kos besar pilihan raya, sementara Bersatu hanya membawa calon.

Namun, bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendedahkan keseluruhan kos pilihan raya PN ditanggung Bersatu, termasuk penyediaan semua peralatan kempen serta sumbangan kewangan besar kepada PAS. 

Kata Marzuki, hasil bantuan itu PAS berjaya meraih kemenangan terbesar dalam sejarah dengan 43 kerusi Parlimen.

Mahfuz menambah, setelah menerima bantuan besar daripada Bersatu, PAS kini mahu mengambil alih kepimpinan gabungan itu, sekali gus mendedahkan wajah sebenar PN yang disifatkan sebagai politik buruk siku.

Katanya, jika parti yang berterusan bertekak soal siapa bayar lebih dan siapa patut jadi ketua ini diberi kuasa, rakyat akhirnya menjadi mangsa.

“Malaysia akan terjebak dalam pertelingkahan tanpa kesudahan, bukan membina masa depan lebih baik,” katanya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan