Harga subsidi petrol RON95 RM1.99 seliter mulai 30 September

 


Subsidi petrol RON95 akan disasar melalui sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bermula 30 September ini, demikian diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan MADANI telah mengotakan komitmennya untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 dan mengurangkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, harga baharu bagi rakyat Malaysia ialah RM1.99 seliter berbanding harga pam semasa RM2.05 seliter. 

Bagi golongan tidak layak seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga tanpa subsidi yang ditetapkan Kementerian Kewangan, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

“Semua warganegara, tanpa mengira tahap pendapatan, yang mempunyai lesen memandu aktif akan layak menikmati manfaat BUDI95 secara automatik. 

"Inilah keistimewaan hanya untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Menurut beliau, penjimatan hasil daripada BUDI95 akan diagihkan semula kepada rakyat melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). 

“Namun, tumpuan kerajaan kekal kepada menambah baik perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan prasarana asas,” tambahnya.

Semua rakyat layak menerima siling subsidi sehingga 300 liter sebulan. 

Pemandu e-hailing pula dikecualikan daripada siling berkenaan dan boleh memohon tambahan kelayakan. 

Siling itu ditetapkan berdasarkan dapatan Jabatan Perangkaan yang menunjukkan lebih 99 peratus pemandu kenderaan persendirian tidak melebihi jumlah berkenaan.

Kerajaan turut memudahcarakan proses pembelian petrol bersubsidi dengan beberapa langkah. 

Pertama, tiada pendaftaran diperlukan. 

Kedua, hanya satu langkah tambahan iaitu pengesahan dengan MyKad semasa membeli RON95 pada harga bersubsidi. 

Ketiga, terminal pembaca MyKad akan disediakan di kedai stesen minyak serta di pam minyak. 

Selain itu, opsyen digital melalui e-dompet TNG dan aplikasi syarikat minyak seperti Setel (Petronas) dan CaltexGo turut disediakan.

Pelaksanaan BUDI95 akan dijalankan secara berperingkat. 

Pada 27 September, sistem dibuka awal kepada 300,000 anggota tentera dan polis. 

Pada 28 September, ia dibuka kepada penerima STR dalam kalangan B40. 

Mulai 30 September, sistem dibuka kepada 16 juta warganegara berumur 16 tahun ke atas yang mempunyai MyKad dan lesen memandu aktif.

Kerajaan menasihatkan rakyat agar memastikan cip MyKad berfungsi dan lesen memandu masih sah. 

Bagaimanapun, mereka tidak perlu tergesa-gesa memperbaharui MyKad jika berjaya menebus bantuan SARA kerana itu membuktikan cip MyKad berfungsi.

Kementerian Kewangan akan mengeluarkan maklumat lanjut berhubung BUDI95 dari semasa ke semasa, dan orang ramai disaran merujuk saluran rasmi kementerian itu bagi mendapatkan maklumat terkini serta sahih.




Catat Ulasan

0 Ulasan