Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh meminta pihak berkuasa menjelaskan mengapa masih belum ada tindakan diambil terhadap individu yang mengibarkan Jalur Gemilang terbalik di Pulau Pinang bulan lalu.
Beliau turut bertanya mengapa pendakwaan terhadapnya diteruskan di mahkamah walaupun dokumen tidak lengkap lagi.
"Kamu yang nak dakwa saya, kamu pula maklum yang dokumen tidak lengkap lagi.
"Kalau saya didakwa walaupun dokumen tak lengkap, saya nak tanya orang yang terbalikkan bendera tu apa cerita ya? Sampai hari ni tak ada apa-apa.
"Mohon jawab persoalan saya ini," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini menetapkan 10 November sebagai tarikh sebutan semula kes Dr. Akmal yang berdepan pertuduhan mengeluarkan kenyataan sehingga menimbulkan kegusaran awam.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit membuat ketetapan itu bagi memberi masa kepada pihak pendakwaan menyerahkan dokumen tambahan kepada mahkamah.
Peguam bela, Datuk Mohd. Imran Tamrin memaklumkan prosiding hari ini adalah sebutan pertama, dengan sebahagian dokumen telah diserahkan mengikut Seksyen 51A Kanun Acara Jenayah, manakala dokumen lain akan diserahkan pada tarikh seterusnya.
Pada prosiding terdahulu, Dr. Muhamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat kenyataan yang dikatakan menimbulkan kegusaran awam.
Beliau didakwa memuat naik kenyataan berunsur sedemikian melalui akaun Facebook miliknya pada pukul 3 petang, 11 Ogos lalu, yang didakwa boleh mendorong individu lain melakukan kesalahan berkaitan ketenteraman awam.
Kes pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Nazran Mohd. Sham bersama Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong dan Nor Shakila Dahari.
0 Ulasan