Segala pencapaian yang dinikmati di Sabah pada masa ini adalah hasil daripada dasar, projek pembangunan, serta perancangan jangka panjang yang dirintis oleh Barisan Nasional (BN).
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, BN sejak dahulu menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara dan Sabah.
Menurut beliau, BN terus membuktikan bahawa perjuangannya bukan sekadar retorik, tetapi lahir daripada tindakan dan usaha yang nyata demi kesejahteraan rakyat.
"Walaupun berdepan pelbagai cabaran politik, semangat perjuangan kita tetap konsisten dan membela rakyat tanpa mengenal penat dan tanpa berkompromi terhadap amanah.
"Hari ini, BN tidak hanya menabur janji, sebaliknya terus membuktikan komitmen melalui usaha membawa peruntukan pembangunan ke Sabah, memperjuangkan isu-isu rakyat di Parlimen dan memastikan kebajikan golongan yang memerlukan terus terbela," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pengerusi BN Libaran itu menegaskan, BN adalah wadah perjuangan sebenar dan janjinya bukan untuk memancing undi semata-mata, tetapi berpaksikan kepada rekod pencapaian dan bukti nyata di lapangan.
"BN Libaran bersama kepimpinan UMNO Sabah akan terus menjadi suara rakyat, memastikan setiap permasalahan diberi perhatian dan setiap peluang pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat tanpa terkecuali.
"BN terbukti mampu, BN terbukti berkhidmat. Inilah bukti, bukan janji," jelasnya.
0 Ulasan