Eropah lebih lantang bela Palestin berbanding negara Islam - Mat Sabu

 

Parti Amanah Negara (Amanah) memandang serius kekejaman berterusan rejim Zionis Israel yang kini semakin rakus melakukan penyembelihan terhadap rakyat Palestin. 

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, serangan kejam yang menyasarkan hospital, masjid, gereja dan orang awam yang sekadar mahu mendapatkan bantuan makanan jelas membuktikan sifat kebinatangan Zionis yang tidak lagi mengenal peri kemanusiaan.

"Al-Quran telah lama mengingatkan tentang sifat pengkhianatan Zionis yang tidak pernah setia dengan perjanjian. 

"Namun, persoalan yang harus kita renungkan ialah: di manakah kedudukan umat Islam sendiri dalam menghadapi kezaliman ini?" katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, adalah amat mendukacitakan apabila masih ada negara-negara Arab Teluk dan negara Islam dalam NATO yang terus menjalin hubungan dagang dan diplomatik dengan Israel, bahkan menjadi laluan transit serta pembekal keperluan yang secara tidak langsung mengukuhkan lagi kedudukan Zionis. 

Ironinya, kata Mohamad, ada ketikanya mereka boleh bersatu menyerang Yaman, tetapi gagal bersatu untuk berdepan dengan Israel yang didukung oleh kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah.

"Hakikatnya, kita kini berhutang budi kepada rakyat Eropah dan masyarakat bukan Islam di seluruh dunia yang lebih lantang membela hak asasi rakyat Palestin, berbanding sebahagian negara Islam yang hanya mengecam di pentas antarabangsa tetapi masih menjalin hubungan akrab dengan Zionis," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Amanah menyeru agar seluruh negara umat Islam, khususnya negara-negara Arab Teluk dan negara Islam dalam NATO, bangkit dengan keberanian dan kesatuan. 

"Jangan biarkan hanya segelintir pihak seperti Iran dan Yaman yang menanggung beban perjuangan menentang Zionis," katanya. 

Mohamad berkata, Amanah akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin, bersama suara kebenaran, dan bersama seluruh bangsa yang menentang kezaliman. 

"Inilah tuntutan agama dan inilah tuntutan kemanusiaan," katanya. 

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan