"Gaza bukan untuk dijual!" tegas Hamas kepada AS

 

Basem Naim (Gambar: The Palestinian Information Center)

Hamas mengecam keras rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil alih Gaza, memindahkan penduduknya dan menukar wilayah itu kepada zon ekonomi serta pelancongan.

Memetik laporan The Palestinian Information Center semalam, bantahan itu disuarakan oleh anggota Biro Politik Hamas, Basem Naim.

Basem turut merujuk kepada pepatah Palestin, “Tenggelamkan ia dan minum airnya,” dan menekankan, “Gaza bukan untuk dijual. Ia bukan satu titik yang dilupakan di atas peta atau geografi, Gaza adalah sebahagian daripada tanah air Palestin yang lebih besar.”

Beliau berkata, rancangan tersebut bukan sahaja ditolak oleh Hamas, malah seluruh rakyat Palestin.

Menurut laporan The Washington Post, pelan setebal 38 muka surat itu memperincikan pemindahan sementara lebih dua juta penduduk Gaza sama ada melalui penghijrahan “sukarela” ke luar negara atau penempatan ke zon selamat di dalam wilayah tersebut ketika proses pembinaan semula.

Cadangan itu turut menetapkan semua tanah Gaza berada di bawah kawalan AS selama 10 tahun sebelum ditukar menjadi hab pelancongan berteknologi tinggi dan pusat perindustrian.

Pemilik tanah ditawarkan pilihan sama ada menukar tanah mereka dengan sebuah pangsapuri di bandar pintar baharu atau menjualnya dan berpindah ke tempat lain. 

Selain itu, setiap penduduk yang meninggalkan Gaza akan menerima bantuan AS$5,000 (RM23,000) serta bayaran sewa dan makanan selama setahun, kononnya menjimatkan AS$23,000 (RM106,000) seorang berbanding kos penempatan sementara dan perkhidmatan sokongan hidup.

Bagi melaksanakan cadangan itu, sebuah tabung dinamakan Amanah Pemulihan Semula Gaza, Lonjakan Ekonomi dan Transformasi (GREAT Trust) akan diwujudkan, kononnya hasil inisiatif Israel melalui Yayasan Kemanusiaan Gaza dengan sokongan AS dan Israel.

Akhbar itu turut melaporkan rancangan berkenaan dibincangkan dalam satu mesyuarat di Rumah Putih yang dihadiri Setiausaha Negara AS, Marco Rubio; utusan khas Presiden AS, Steve Witkoff; bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair serta Jared Kushner.

Jabatan Negara AS setakat ini belum memberi sebarang maklum balas terhadap laporan tersebut.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan