![]() |
Mujahid dengan muka bangga menunjukkan hibah TH sebanyak 1.25 peratus bagi 2018. |
Penganalisis politik, Datuk Eric See-To meminta Pakatan Harapan (PH) menjawab persoalan mengapa laporan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) 2017 yang pada mulanya menunjukkan lebihan tiba-tiba bertukar defisit selepas diaudit semula.
Menurut beliau, soalan itu tidak pernah dijawab oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan mana-mana penyokong PH sejak tujuh tahun lalu.
Eric berkata, akaun TH bagi 2017 telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan tiada masalah ditemui, malah dalam keadaan lebihan.
"Namun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerajaan PH1.0 menolak audit ke atas laporan kewangan 2017 itu dan melantik firma audit swasta untuk audit semula.
"Tiba-tiba lebihan bertukar menjadi defisit RM4.1 bilion dengan alasan kononnya TH terlebih bayar hibah kepada pendeposit," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Beliau menambah, seepas itu, PH1.0 keluarkan propaganda bahawa TH telah melanggar Akta Tabung Haji sejak 2014 sebab terlebih bayar dividen.
Eric berkata, namun sehingga hari ini iaitu lebih tujuh tahun kemudian, tiada seorang pun pengurus, akauntan atau juruaudit yang terlibat dengan akaun 2017 itu pernah didakwa atau diambil tindakan atas kesalahan mengeluarkan akaun kewangan palsu atau atas kesalahan langgar Akta Tabung Haji.
"Malah Ketua Audit Negara ketika itu, yang bertanggungjawab mengaudit laporan tersebut, juga tidak dikenakan sebarang tindakan dan dibiarkan terus berkhidmat di bawah kerajaan PH1.0 sehingga kontraknya tamat.
"Jadi, ada sesiapa dari PH boleh jelaskan kenapa kononnya melanggar Akta TH dan memalsukan akaun kewangan untuk menyorok kerugian berbilion ringgit melibatkan simpanan haji bagi 9 juta Rakyat tidak dianggap sebagai kesalahan jenayah serius yang sepatutnya didakwa?
"Atau sebenarnya defisit RM4.1b yang tiba-tiba wujud itu hanyalah wayang dan propaganda kamu pada masa itu untuk memberi justifikasi bagi serangan politik serta fitnah berkaitan TH korang terhadap Najib sebelum PRU14?" soalnya.
0 Ulasan