Penganalisis politik, Datuk Eric See-To berkata, tidak pernah kedengaran begitu ramai yang menolak tawaran haji semasa zaman pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut beliau, masalah itu tidak berlaku meskipun kuota haji ketika itu lebih tinggi berbanding sekarang.
Eric berkata, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain baru-baru ini mendedahkan bahawa lebih 15,000 atau 50 peratus daripada 31,600 pendeposit yang menerima tawaran haji tahun ini terpaksa menolak atau menangguhkan giliran mereka kerana masalah kewangan.
"Persoalannya, adakah punca utama adalah kos menunaikan haji yang melonjak begitu tinggi?" soalnya dalam hantaran Facebook hari ini.
Untuk rekod, beliau berkata, sepanjang sembilan tahun era Najib, kadar bayaran kekal pada RM9,980 bagi semua golongan.
Eric berkata, pada masa itu, kos sebenar di Arab Saudi memang meningkat setiap tahun merangkumi caj visa, penginapan, penerbangan serta kadar tukaran mata wang.
"Namun Tabung Haji masa Najib itu masih mampu mengekalkan harga RM9,980 kerana keuntungan pelaburan ketika itu melonjak, membolehkan subsidi per jemaah ditambah tanpa menjejaskan kedudukan kewangan TH.
"Hari ini keadaannya berbeza. Kos terus naik, tetapi Tabung Haji tidak lagi mampu memberi subsidi seperti dahulu," jelasnya.
Akibatnya, kata beliau, bagi tahun ini, B40 perlu membayar RM15,000 (naik 50.3 peratus), M40 membayar RM23,500 (naik 136 peratus) dan T20 membayar RM33,330 (melonjak 233.7 peratus).
Tambah Eric, bagi mereka yang menunggu giliran berpuluh tahun, hampir mustahil untuk menolak tawaran sekiranya benar-benar mampu, kerana peluang itu sangat terhad.
"Adakah kerajaan tidak melihat perkara ini sebagai isyarat membimbangkan bahawa semakin ramai umat Islam di Malaysia tidak lagi mampu menunaikan haji?
"Kerajaan Madani perlu semak semula kadar bayaran haji dan mencari jalan agar subsidi kembali mampu meringankan beban jemaah dengan mengubah semula dasar pelaburan TH agar ia dibenarkan berniaga semula," katanya.
0 Ulasan