MyKasih tingkat kapasiti terminal SARA 60 peratus

 

Susulan lonjakan jumlah transaksi pada hari pertama pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) semalam,  MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti pemprosesan terminal SARA sebanyak 60 peratus bagi memastikan transaksi hari ini dapat berjalan dengan lebih lancar.

Menurut MyKasih, pasukan teknikalnya terus memantau prestasi sistem secara aktif dan sedang mengambil tindakan segera untuk menambah baik keupayaan sistem secara berterusan.

"Sehingga pukul 5.00 petang hari ini, hampir 600,000 transaksi telah berjaya disempurnakan, iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah transaksi pada waktu yang sama semalam.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan transaksi Penghargaan SARA dan SARA dalam tempoh dua hari ini mencecah 1.45 juta transaksi, melibatkan perbelanjaan rakyat sebanyak RM91 juta di seluruh negara," jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, MyKasih memberitahu, penurunan kadar pemprosesan transaksi masih dilaporkan di beberapa lokasi, khususnya di Selangor, Perak, Sabah dan Melaka. 

Katanya, beberapa pasar raya besar di kawasan bandar yang mencatat bilangan penerima SARA yang tinggi mengalami kesesakan, terutamanya semasa waktu puncak antara pukul 1.00 hingga 2.30 petang.

"Keadaan ini mungkin berpunca daripada jumlah pembeli yang tinggi sempena cuti hujung minggu yang panjang. 

"Selain 22 juta penerima Penghargaan SARA yang menerima kredit sekali bayar RM100 semalam, sebanyak 5.4 juta penerima turut menerima kredit bulanan SARA hari ini," katanya/

Bagi menguruskan situasi ini, kakitangan MyKasih telah ditempatkan di pasar raya besar terpilih bagi membantu menyelesaikan isu di lapangan dan memberikan sokongan kepada para peniaga.

Orang ramai dinasihatkan untuk merancang pembelian pada waktu bukan puncak, seperti pagi pada hari bekerja, bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar.

Kredit RM100 Penghargaan SARA ini sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan