Penghargaan SARA: 850,000 rakyat belanja lebih RM50 juta hari pertama

 

Hari pertama pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia dewasa semalam telah menerima sambutan yang amat menggalakkan, dengan sekitar 850,000 rakyat berjaya berbelanja lebih RM50 juta setakat pukul 9.30 malam.

Kementerian Kewangan berkata, sambutan tinggi daripada penerima Penghargaan SARA semalam telah menyebabkan sistem mengalami transaksi mendadak. 

Katanya, susulan daripada itu, sistem terminal pembayaran yang dikendalikan melalui rangkaian MyKasih telah mengalami penurunan prestasi yang ketara di beberapa lokasi.

"Walaupun sistem telah beroperasi dengan lebih perlahan, transaksi masih diterima dan diproses. 

"Kementerian Kewangan (MoF) dan MyKasih telah mengambil langkah untuk meningkatkan kapasiti sistem supaya pada 1 September 2025, rakyat dapat terus membuat pembelian melalui SARA dengan lancar tanpa gangguan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, bagi memastikan sistem kembali stabil dan bersedia untuk rakyat meneruskan perbelanjaan melalui SARA pada 1 September 2025, MyKasih melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem malam tadi.

Kementerian Kewangan memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami para pengguna dan akan terus memantau pelaksanaan inisiatif ini agar berjalan lancar. 

"Bilangan transaksi pada hari ini adalah jauh lebih tinggi daripada pengalaman sebelum ini. 

"Sehingga 30 Ogos, pelaksanaan bulanan SARA telah dapat mengendalikan purata transaksi harian sekitar 600,000 transaksi sehari," jelasnya.

Kementerian Kewangan juga ingin mengingatkan bahawa kredit RM100 sekali bayar Penghargaan SARA ini kekal sah sehingga 31 Disember 2025, dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan