MPKj sudah tangkap anjing serang kanak-kanak


Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menghantar segera pasukan Unit Tangkapan Anjing Terbiar MPKj ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap anjing yang dipercayai mencederakan seorang kanak-kanak di Taman Megah, Cheras semalam.

Menurut MPKj, bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat, pihaknya telah menghantar kakitangan untuk menjalankan siasatan ke premis pemilik anjing hari ini serta melaksanakan kawalan dan tangkapan anjing berkeliaran di kawasan sekitar. 

Katanya, laporan polis juga telah dibuat oleh waris kanak-kanak berkenaan dan kes masih dalam siasatan pihak polis.

"Anjing tersebut telah dibawa ke Pusat Tahanan Haiwan MPKj untuk diasingkan dan ditahan sehingga siasatan kes selesai. 

"MPKj juga akan mendapatkan pandangan teknikal daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah Hulu Langat bagi tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

MPKj turut menyeru agar pemilik anjing tidak melepaskan haiwan peliharaan mereka ke luar premis tanpa pengawasan. 

"Bagi pemilik yang tidak lagi berhasrat memelihara anjing mereka boleh menyerahkan haiwan tersebut kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

"Pemilik juga boleh menghubungi MPKj sekiranya memerlukan maklumat lanjut," katanya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan