Pegawai kanan Hamas, Ezzat al-Resheq menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mahu meneruskan perang dan menghalang cadangan gencatan senjata serta pertukaran tahanan di Gaza.
The Palestinian Information Center melaporkan, Ezzat berkata demikian semalam sebagai reaksi terhadap gesaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump supaya Hamas segera membebaskan semua tawanan Israel di Gaza.
“Kami ingin memberitahu Trump bahawa Hamas telah bersetuju pada 18 Ogos lalu terhadap cadangan yang dibawa oleh para pengantara.
"Cadangan ini pada asasnya berlandaskan kepada usul Witkoff,” katanya menerusi saluran Telegram Hamas.
Namun, katanya, Netanyahu sehingga kini masih tidak memberi sebarang maklum balas terhadap cadangan itu.
“Kami juga telah menyatakan kesediaan untuk satu perjanjian komprehensif di mana semua tawanan Israel akan dibebaskan dengan pertukaran sejumlah tahanan Palestin yang dipersetujui,” ujarnya.
Beliau menegaskan, perjanjian itu juga mesti merangkumi gencatan senjata serta pengunduran sepenuhnya tentera rejim Zionis Israel dari Gaza.

0 Ulasan