PAS semakin diterima kaum Cina, India - DHPP

 


PAS semakin diterima kaum Cina dan India kerana mereka menilai parti itu berdasarkan integriti dan rekod bersih kepimpinannya.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat, N. Balasubramaniam berkata, masyarakat Cina dan India kini lebih matang dan mengenali PAS secara dekat tanpa terpengaruh dengan momokan pihak tertentu.

“Mereka tidak lagi terpengaruh dengan label yang tidak tepat. Sokongan yang semakin meningkat ini lahir kerana mereka menilai PAS berdasarkan integriti dan rekod bersih kepimpinan parti. 

"Hingga kini, tiada seorang pun pemimpin utama PAS yang dituduh atau ditangkap atas kesalahan rasuah. 

"Malah, Ahli Parlimen PAS juga tidak pernah melompat parti semata-mata untuk mengejar jawatan atau kepentingan peribadi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berhubung tawaran PAS kepada MCA dan MIC baru-baru ini.

Menurut beliau, masyarakat Cina dan India melihat kejujuran, keteguhan prinsip serta istiqamah PAS dalam memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Bagi masyarakat India dan Cina, PAS menawarkan keyakinan bahawa politik boleh dijalankan dengan nilai amanah, keadilan sosial serta kepedulian terhadap kebajikan sejagat. 

"Mereka melihat PAS bukan hanya bercakap soal agama, tetapi juga komited membina sebuah negara yang bersih daripada korupsi, stabil dan sejahtera untuk semua,” katanya.

Balasubramaniam berkata, persepsi lama bahawa masyarakat bukan Islam menolak PAS tidak lagi tepat dengan realiti semasa kerana semakin ramai masyarakat Cina dan India menerima parti itu.

“DHPP percaya, dengan kerjasama yang baik melalui Perikatan Nasional, PAS akan terus menjadi wadah penyatuan dan pilihan terbaik untuk rakyat Malaysia yang mendambakan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan berintegriti,” katanya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan