Pengundi Cina dan India masih belum terima PAS - Lian Ker

 

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berpandangan, rata-rata pengundi Cina dan India belum lagi boleh menerima PAS.

Beliau berkata, jemputan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kepada MCA dan MIC untuk bersama parti itu dari segi strategi adalah langkah yang salah.

“Dari segi strategi, ini adalah ternyata salah kerana MCA dan MIC akan tenggelam dan hilang undi tradisi mereka sekiranya optik politik ialah MCA dan MIC masuk PAS. 

"Ini mungkin menguatkan PAS tetapi semestinya akan melemahkan lagi MCA dan MIC kerana rata-rata pengundi Cina dan India belum lagi boleh dan tidak lagi akan menerima PAS selagi PAS masih berpegang pada perlaksanaan sistem perundangan Islam dalam masyarakat majmuk,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, perkara itu akan meletakkan masyarakat bukan Islam di bawah kategori yang lebih rendah dalam bentuk kafir harbi dan kafir zimmi.

“Ini adalah sama dengan nada politik DAP yang mahu menghapuskan kuota bumiputera yang tidak boleh diterima oleh masyarakat Melayu walaupun DAP cuba menutup keaiban politik ini dengan naratif-naratif baru,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa situasi sama berlaku pada 1999 apabila Tan Sri Lim Kit Siang dan Karpal Singh tewas di kubu kuat mereka, Bukit Bendera dan Jelutong, selepas bekerjasama dengan PAS.

“Adalah lebih manis sekiranya Tuan Ibrahim atas kapasiti Perikatan Nasional (PN) atau lebih baik kalau Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjemput MCA dan MIC dalam kapasiti rasmi mereka bagi pihak PN,” katanya.

Jelasnya, apa yang berlaku kepada DAP pada 1999 di mana parti itu hanya memenangi 10 kerusi daripada 193 yang ditandingi, akan turut menimpa MCA dan MIC jika mengharapkan sokongan pengundi PAS.

“Jemputan Timbalan Presiden PAS walaupun manis di mulut tetapi semestinya tidak enak di hati masyarakat Cina dan India selagi PAS tidak mengubah wajah mereka dari konservatif kepada lebih terbuka,” katanya.

Lian Ker menegaskan, PAS perlu menyederhanakan diri melalui permuafakatan PN atau mengubah dasar politik parti daripada penekanan pada agama dan kaum kepada keadilan sosial, kemanusiaan serta kebajikan sejagat.

“Kalau asas jemputan adalah semata-mata mahu menang atau hanya nak tambah kawan demi cukupkan angka, itu bukan kerjasama politik, itu sekadar projek tambah kerusi sandaran atau tahaluf siyasi yang pernah dilaung-laungkan oleh PAS dan DAP,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa PAS seharusnya menunjukkan ia bukan parti perkauman, sebaliknya menegakkan keadilan serta prinsip ketuhanan yang sejati.

“Sebagai permulaannya, PAS patut menyokong pemilihan Ahli Majlis Tempatan atas prinsip demokrasi dan bukannya menentangnya atas fobia perkauman. 

"Perjuangan atas prinsip keadilan dan dasar kesejagatanlah medan sebenar untuk tunjuk kesungguhan PAS untuk lawan rasuah, hentikan salah guna kuasa dan pastikan Ahli Majlis dipilih rakyat, bukan dilantik ikut selera parti,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama dengan MCA, MIC atau mana-mana pihak mesti berpijak pada nilai bersama yang suci, bukan sekadar janji manis di pentas politik.

“Prinsip-prinsip suci dan alim seharusnya dijadikan teras perjuangan bersama supaya parti-parti seperjuangan boleh memeluknya sebagai asas perjuangan gabungan parti. 

"Kesederhanaan bertentangan dengan politik mendabik dada dan teriak emosi agama atau bangsa bila tersepit. Amalan demokrasi sejati pula telah diketepikan kebelakangan ini. 

"Amalan meritokrasi dan daya saing bukan budaya kroni, nepotisme dan sebagainya. Kemajmukan Malaysia bukan retorik manis depan kawan, tapi lain wajah bila balik kandang sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan, rakyat sudah muak dengan politik acah inklusif tetapi masih mengekalkan sistem pecah perintah yang membinasakan negara.

“Kalau sekadar bawa MCA dan MIC masuk dalam khemah besar, tapi dasar tetap sempit dan kuasa tetap berpusing di kalangan kroni, itu bukan kerjasama, itu projek rakus kuasa yang juga merupakan amalan status quo tanpa ubah. 

"Sampai bila rakyat mahu lihat politikus yang jual jaja wajah inklusif, kesederhanaan dan kemajmukan tetapi sembunyi tangan yang masih ligat menongkat sistem perkauman,” katanya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan