Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh mula menebus baucar bernilai RM30 di bawah program Baucar Perlindungan Tenang 3.0 (PTV 3.0) mulai 1 September 2025.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan media hari ini berkata, baucar itu disubsidi oleh Kerajaan MADANI bagi membantu membiayai sebahagian kos produk insurans dan takaful mampu milik yang mempunyai jumlah premium atau sumbangan tahunan sekurang-kurangnya RM50.
"Dengan kerjasama industri insurans dan takaful, kerajaan memperuntukkan RM60 juta melalui Belanjawan 2025 untuk menampung kos produk perlindungan di bawah PTV3.0.
"Usaha ini melengkapi inisiatif lain seperti Skim Perubatan MADANI dan PeKa B40 bagi memperkukuh jaring keselamatan sosial menerusi kerjasama awam-swasta yang bersasar.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PTV3.0 mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI untuk meningkatkan taraf hidup rakyat seperti termaktub dalam kerangka Ekonomi MADANI.
"Sesungguhnya, sesebuah negara hanya boleh bangkit bersama apabila setiap isi rumah mendapat perlindungan sewajarnya.
"Hatta, inisiatif ini adalah untuk mengembalikan maruah dan membina ketahanan segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan akses perlindungan dinikmati oleh semua lapisan rakyat.
“Melalui PTV3.0, Kerajaan MADANI tekad untuk memperluas akses kepada semua.
"Seyogia, keterjaminan kesihatan dan keselamatan bukanlah kemewahan yang boleh dirasai oleh sesetengah kelompok sahaja,” katanya.
Selaras pendekatan bantuan bersasar, Kementerian Kewangan akan melaksanakan protokol pengesahan identiti bagi memastikan permohonan sahih dan menepati kelayakan.
Penerima STR boleh menyemak kelayakan serta merujuk Soalan Lazim PTV3.0 di www.myptv.my, atau mengunjungi mana-mana ejen, pengedar dan premis penyedia yang mengambil bahagian.
Senarai penuh produk yang layak turut disediakan di www.mycoverage.my.

0 Ulasan