Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan poster yang tular dalam media sosial kononnya memaparkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
SPR dalam kenyataan media hari ini berkata, poster berkenaan adalah palsu dan sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat mengenai pembubaran DUN Sabah mahupun penetapan tarikh pilihan raya.
“Maklumat mengenai pilihan raya termasuk tarikh writ, penamaan calon dan hari mengundi hanya akan dikeluarkan melalui saluran rasmi SPR iaitu portal rasmi, sidang media dan kenyataan media,” jelas kenyataan itu.
Menurut SPR, penyebaran maklumat palsu seumpama itu merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Individu yang menyebar, berkongsi atau menerbitkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang berkaitan,” katanya.
SPR turut menyeru orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan maklumat tidak sahih, sebaliknya merujuk saluran rasmi bagi mendapatkan maklumat tepat.
0 Ulasan