Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa walaupun konspirasi akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin gagal, namun kedudukan politik Timbalan Presiden Bersatu itu masih belum berakhir.
Menurut Puad, tindakan PAS membantah keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 telah menyelamatkan kedudukan Hamzah.
“Umum calon PM ke-11 adalah senjata untuk menutup kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu dan isu SD 120 Ketua Bahagian. Tetapi akhirnya ia jadi senjata makan tuan. Hamzah dapat nafas baharu.
“Semua tahu PAS mahu Hamzah jadi poster boy PN kerana Muhyiddin ada baggage. Muhyiddin melakukan kesilapan besar kerana membiarkan PAT Bersatu putuskan dia calon PM ke-11,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Puad menegaskan keputusan PAT Bersatu itu dilihat sebagai keterlaluan kerana sepatutnya memadai dengan solidariti terhadap Muhyiddin tanpa perlu membuat pengisytiharan calon Perdana Menteri.
“PAT Bersatu terlajak bagi sokongan. Sepatutnya sudah memadai solidariti bersama Muhyiddin sebagai serigala. Kini Pas adalah pengimbang politik Bersatu. Hamzah masih selamat,” katanya.
Difahamkan, PN kini berdepan ketegangan dalaman antara kem penyokong Muhyiddin dan kelompok yang mahu Hamzah diangkat sebagai wajah baharu gabungan itu.
PAS sebelum ini dilihat lebih cenderung menyokong Hamzah ekoran pengaruhnya dalam kalangan blok pembangkang.
Langkah Bersatu mengumumkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dikatakan bertujuan mengukuhkan semula kedudukan parti selepas kekecohan di PAT, namun tindakan itu akhirnya mengundang bantahan PAS yang merasakan keputusan tersebut dibuat secara tergesa-gesa.
0 Ulasan