Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh meminta Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong memohon maaf kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung isu seorang pelajar cemerlang lepasan STPM, Edward Wong yang gagal mendapat tempat di Universiti Malaya (UM).
Menurut Dr. Akmal, beliau pada awalnya turut bersimpati dengan nasib pelajar tersebut, namun selepas disemak, didapati jumlah pelajar yang mendapat merit 100 peratus lebih ramai berbanding pelajar berkenaan yang memperoleh 99.9 peratus.
“Bila baca kenyataan awal dari YB saya pun terasa kesian kenapa adik yang dapat keputusan baik ini tidak dapat tawaran belajar. Tetapi cerita sebenar adalah adik ini memang pandai, cuma ada lebih ramai yang sangat pandai dan layak berbanding dia.
“Apabila YB menyalahkan sistem yang sudah rosak, itu adalah tuduhan yang tidak patut dan mencemarkan nama baik KPT. Kita mendesak agar YB dapat menyatakan permohonan maaf kerana para penjawat awam sudah melaksanakan tanggungjawab dengan sangat baik tanpa prejudis,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Dr. Akmal turut menegaskan beliau tidak menyerbu atau menekan Ka Siong, sebaliknya hanya menegur secara berhemah.
“Rileks lah YB Wee Ka Siong. Mana ada saya serbu, saya cakap dengan elok sahaja. Yang salah kita katakan salah, yang betul kena katakan betul. Kalau dah salah fakta, minta maaf, jangan pusing sana sini.
“Kalau tidak mahu minta maaf, teruskan pusing sana sini. Rakyat tahu menilai siapa yang pusing dan siapa yang benar,” ujarnya.
0 Ulasan