Tuan Ibrahim tarik balik saman terhadap Rafizi

 


Bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menarik balik saman sivil terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung isu projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

Saman tersebut difailkan pada 17 November 2022 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Rafizi membangkitkan persoalan mengenai fungsi seorang menteri dalam tempoh kerajaan sementara susulan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-15
.
Persoalan itu termasuk dakwaan usaha penganugerahan projek tebatan banjir berkenaan kepada Mangkubumi Sdn. Bhd. ketika Tuan Ibrahim masih memegang jawatan menteri.

Menurut kenyataan bersama, Rafizi bersetuju menurunkan semua hantaran media sosial berkaitan isu tersebut bagi mengelakkan salah faham orang awam terhadap Tuan Ibrahim.

“Keterlibatan YB Tuan Ibrahim dalam usaha penganugerahan projek tersebut tidak lagi berbangkit di antara pihak-pihak,” jelas kenyataan itu.

Kedua-dua pihak juga sepakat menyatakan sebarang perselisihan wajar diketepikan demi kepentingan awam, keharmonian masyarakat dan kestabilan politik negara.

Perkara itu diselesaikan secara baik di luar mahkamah.





Catat Ulasan

0 Ulasan