Anwar kecam pesta arak dalam kawasan sekolah

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penganjuran pesta arak di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Michael, Ipoh pada 27 September lalu jelas melanggar peraturan sekolah walaupun diadakan selepas waktu persekolahan.

Menurut beliau, sekolah tidak seharusnya digunakan untuk sebarang kegiatan yang bertentangan dengan peraturan dan falsafah pendidikan negara.

“Saya setuju suasana sekolah itu mesti mengelakkan daripada walaupun selepas waktu sekolah, dewan sekolah tidak harus digunakan untuk kegiatan-kegiatan yang melanggar peraturan.

“Walaupun disewa oleh badan bebas. Ada arak, perjudian, ini bukan mendidik anak-anak jadi melanggar konsep falsafah pendidikan kita sendiri,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menegaskan, penganjuran pesta arak serta aktiviti perjudian di kawasan sekolah, termasuk sekolah bukan Islam, adalah bercanggah dengan prinsip pendidikan negara yang menekankan nilai moral dan pembentukan sahsiah.

“Kita nak minta rakan-rakan kita, kita bukan nak larang hak mereka tetapi sekolah tempat didikan, ilmu dan moral juga nilai. Kalau kita izinkan sedikit, secebis alat perjudian atau arak yang ditolak di kawasan sekolah saya minta rakan-rakan kita faham, ini sekolah termasuk sekolah bukan Islam.

“Anak-anak bukan Islam bukan diajar daripada kecil untuk minum arak atau berjudi. Jadi budaya Malaysia itu mesti budaya keseluruhannya, di luar itu hak mereka kita tidak pertikai, buatlah di dewan lain,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang memperhalusi langkah untuk memperketatkan peraturan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

“Sekarang KPM meneliti supaya peraturan-peraturan ini. Kalau sekolah itu swasta itu ada masalah sikit, kena lihat bidang hak kuasa kerajaan kalau milik kerajaan saya tidak fikir harus langgar prinsip ini.

“Saya cenderung untuk tidak membenarkan pesta-pesta seperti itu (arak) termasuk pesta-pesta kerajaan sama ada selepas atau sebelum seperti yang berlaku baru-baru ini,” tambahnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib mendedahkan pesta arak itu diadakan sempena Annual Reunion Banquet ke-90 oleh bekas pelajar sekolah berkenaan yang dihadiri hampir 800 alumni.

Muhammad Ismi turut mengingatkan bahawa KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 yang dengan jelas melarang sekolah menerima sumbangan daripada syarikat minuman keras, rokok dan perjudian, sambil menggesa kementerian mengambil tindakan segera.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan