Penganalisis politik, Datuk Eric See-To menempelak naratif Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang mendakwa aset-aset hotel milik Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai ‘toksik’ dan membebankan, sedangkan prestasi sebenar syarikat terbabit menunjukkan keuntungan yang kukuh.
Beliau berkata, berdasarkan laporan kewangan tahun 2024, hotel-hotel yang dahulunya milik TH dan kini dijenamakan semula sebagai Hotel Raia di bawah pengurusan UJ Hotels and Resorts Management Sdn. Bhd., mencatatkan prestasi kewangan luar biasa tinggi.
“Daripada laporan kewangan tahun 2024, jumlah aset ialah RM45.07 juta, jumlah ekuiti (modal dan untung terkumpul) RM19.62 juta, keuntungan selepas cukai RM10.01 juta, hasil tahunan RM72.26 juta dan dividen dibayar sebanyak RM3 juta,” katanya dalam hantaran Facebook kelmarin.
Menurut Eric, nisbah kewangan utama menunjukkan kekuatan luar biasa dengan pulangan ke atas aset (ROA) 22.2 peratus, pulangan ke atas pelaburan (ROI) 51.0 peratus, margin keuntungan bersih 13.8 peratus dan dividen sebanyak 15.3 peratus.
“Maknanya, bagi setiap RM1 aset, syarikat berjaya menjana keuntungan bersih 22 sen — dan bagi setiap RM1 ekuiti pemegang saham, pulangannya lebih daripada 50 sen.
"Dividen yang dibayar bagi tahun 2024 pula ialah pada kadar 15.3 peratus, jauh melebihi hibah TH sebanyak 3.25 peratus,” katanya.
Tambahnya, angka tersebut membuktikan aset-aset yang dijual oleh TH sebelum ini bukanlah ‘toksik’ seperti yang digambarkan oleh kerajaan PH, sebaliknya menunjukkan potensi keuntungan yang tinggi dan pengurusan yang cekap.
“Ini bukan sekadar baik, tapi luar biasa tinggi, terutama untuk syarikat yang mengekalkan margin bersih hampir 14 peratus selepas cukai sambil masih mampu bayar dividen RM3 juta.
"Jadi, celah mana aset-aset ini adalah toksik yang merugikan sehingga perlu dijual oleh TH?” katanya.

0 Ulasan