Jangan anggap hidang arak pada majlis kerajaan isu kecil - MCW

 

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius isu dakwaan berhubung majlis makan malam anjuran Tourism Malaysia yang dikatakan ditaja pihak swasta dan turut menyediakan minuman keras semasa majlis rasmi kerajaan berlangsung.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, perkara itu bukan isu kecil atau sekadar persepsi semata-mata, sebaliknya menyentuh secara langsung aspek tatakelola, ketelusan penajaan serta pematuhan terhadap pekeliling dan arahan kerajaan yang telah lama dikuatkuasakan.

“Dalam konteks pentadbiran awam, sebarang bentuk tajaan oleh pihak swasta terhadap program kerajaan mesti melalui proses kelulusan dan penilaian yang telus,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Menurut Jais, tiga prinsip asas perlu dipatuhi dalam urusan tajaan iaitu tajaan diluluskan secara rasmi oleh kementerian atau agensi berkenaan, nilai dan bentuk sumbangan didedahkan secara telus untuk tujuan audit, serta penaja tidak mempunyai kepentingan langsung dengan agensi atau individu terlibat.

“Tanpa garis panduan ini, tajaan yang kelihatan sebagai inisiatif baik boleh menimbulkan konflik kepentingan atau pengaruh tidak wajar terhadap dasar dan keputusan kerajaan,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa ketelusan sumber tajaan serta tujuan penganjuran majlis perlu disemak dan dijelaskan oleh pihak berkuasa, khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Dalam pada itu, Jais berkata, laporan mengenai penyediaan minuman keras dalam majlis rasmi kerajaan jelas bercanggah dengan arahan serta etika rasmi kerajaan.

“Perlu diingatkan bahawa telah sekian lama wujud arahan Kabinet dan pekeliling yang melarang penyediaan atau penghidangan arak dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan, termasuk yang dianjurkan bersama rakan industri atau sektor swasta,” katanya.

Beliau menambah bahawa dalam program peringkat antarabangsa seperti Mesyuarat ASEAN yang dianjurkan Malaysia, perkara itu telah lama dilarang bagi menghormati sensitiviti dan nilai budaya negara.

“Oleh itu, sekiranya benar berlaku penyediaan minuman keras dalam majlis yang membawa nama rasmi kerajaan, walau ditaja oleh pihak luar sekalipun, ia tetap merupakan pelanggaran terhadap prinsip tatakelola dan etika perkhidmatan awam,” katanya.

Sehubungan itu, Jais menggesa MOTAC dan Tourism Malaysia tampil memberi penjelasan rasmi kepada rakyat berhubung dua perkara utama — siapakah penaja sebenar majlis tersebut serta bentuk sumbangan yang diberikan, dan adakah benar minuman keras disediakan dalam majlis rasmi berkenaan.

Beliau turut mencadangkan supaya audit dalaman dijalankan segera bagi memastikan pematuhan kepada pekeliling dan garis panduan sedia ada.

“Langkah ini penting untuk mengelakkan salah tanggapan, sekaligus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran awam,” katanya.

Jais turut menegaskan bahawa isu integriti tidak boleh ditafsir atau diamalkan secara terpilih.

“Menjaga integriti bukan hanya bermaksud mengelak rasuah atau salah guna kuasa besar, tetapi juga memastikan setiap tindakan dan keputusan kerajaan bebas daripada pengaruh tidak wajar, jelas, dan menghormati etika perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan ekonomi dan imej pelancongan negara tidak boleh dibina atas pelanggaran prinsip asas tadbir urus kerana nilai integriti mesti menjadi asas setiap majlis, acara dan keputusan kerajaan — tidak kira sama ada ia melibatkan wang rakyat atau tajaan pihak luar.

“MCW menyeru agar semua kementerian dan agensi menilai semula dasar serta amalan penerimaan tajaan daripada pihak swasta dengan memperketat prosedur kelulusan dan garis panduan pelaksanaan,” katanya.

Jais menegaskan, MCW akan terus memainkan peranan sebagai badan pemantau bebas terhadap isu integriti, rasuah dan tatakelola dalam sektor awam dan swasta di Malaysia.

“Integriti bukan sekadar slogan — ia adalah disiplin dan tanggungjawab bersama,” katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan