Penjawat awam dilarang terlibat majlis hidang arak - CUEPACS

 


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menegaskan penjawat awam dilarang sama sekali terlibat dalam sebarang aktiviti atau majlis yang melibatkan minuman keras atau minuman beralkohol, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, sebagai penjawat awam yang berkhidmat kepada rakyat dan kerajaan, setiap pegawai perlu menjaga integriti, imej dan maruah perkhidmatan awam, selaras dengan nilai profesionalisme serta tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Penyertaan dalam aktiviti yang boleh mencemarkan reputasi jabatan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau berkata, mana-mana penjawat awam yang menerima jemputan menghadiri majlis makan malam, jamuan rasmi atau tidak rasmi yang disyaki melibatkan hidangan minuman beralkohol perlu segera mendapatkan pengesahan daripada pihak penganjur.

“Jika terdapat keraguan atau maklumat bahawa majlis tersebut melibatkan minuman arak, penjawat awam hendaklah menolak jemputan itu serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa atau ketua jabatan masing-masing untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Pada masa sama, Adnan menggesa pihak swasta dan industri supaya menghormati budaya serta sensitiviti agama, khususnya dalam majlis rasmi yang turut dihadiri penjawat awam.

Katanya, Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mengamalkan nilai kesopanan, kesusilaan dan menghormati kepercayaan agama, justeru setiap penganjur perlu peka terhadap budaya rasmi kerajaan, terutamanya apabila majlis melibatkan kakitangan awam yang sebahagian besar beragama Islam dan terikat dengan peraturan serta etika perkhidmatan.

“Langkah ini penting bagi memastikan setiap bentuk majlis rasmi atau tidak rasmi tidak menyinggung mana-mana pihak dan selari dengan nilai moral serta budaya masyarakat Malaysia,” katanya.

Adnan berkata, CUEPACS turut menyeru agar semua jabatan dan agensi kerajaan lebih berhati-hati dalam memilih acara atau program yang disertai bagi mengelakkan timbulnya persepsi tidak baik terhadap penjawat awam serta memastikan imej perkhidmatan awam kekal dihormati rakyat.

“CUEPACS akan terus bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi memastikan penjawat awam kekal berdisiplin, berintegriti dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat dalam setiap tindakan dan penampilan,” katanya.

BACA LAGI



Catat Ulasan

0 Ulasan