Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan keputusan PAS melantik Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menurut beliau, langkah tersebut menunjukkan parti itu tidak mempercayai keupayaan kepimpinan tempatan untuk mengemudi jentera pilihan raya.
Mohd. Puad berkata, pelantikan itu menimbulkan persoalan sama ada PAS benar-benar serius mahu bersaing di Sabah atau sekadar mahu mencukupkan syarat penyertaan.
“Pelantikan Annuar Musa sebagai Pengarah PRN Sabah membuktikan PAS tidak percaya kepada kebolehan pemimpin PAS tempatan (Sabah) untuk mengetuai jentera pilihan raya,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Menurut beliau, Annuar sebelum ini juga telah gagal apabila diberikan tanggungjawab serupa semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan.
“UMNO merampas kerusi di negeri kubu kuat PAS. Calon UMNO menang dengan majoriti yang amat besar,” katanya.
Beliau mendakwa perkara itu menjadi bukti bahawa penglibatan PAS dalam PRN Sabah kali ini hanyalah sekadar simbolik tanpa keyakinan untuk menang.
“Itu membuktikan penyertaan PAS di PRN Sabah adalah untuk cukup syarat, tidak serius dan tidak yakin untuk menang.
"Annuar Musa akan jadi kambing hitam jika calon PAS di PRN Sabah kalah teruk atau hilang wang deposit,” katanya.
Mohd. Puad secara sinis turut mempersoalkan sama ada pengalaman lama Annuar dalam kempen pilihan raya akan berulang.
“Apakah kali ini Annuar akan melihat duit berlonggok di atas katil bilik hotel sekali lagi?” katanya.

0 Ulasan