Saya tidak memusuhi UMNO - Annuar Musa

 

Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak meninggalkan UMNO, sebaliknya beliau dibuang daripada parti itu oleh pihak tertentu ketika sedang berkhidmat sepenuhnya kepada parti.

Menurutnya, keputusan tersebut tidak melemahkan semangatnya, sebaliknya beliau memilih untuk terus berjuang demi prinsip dan idealisme politiknya yang kini diteruskan bersama PAS.

“Sejak saya memuat naik gambar menerima watikah daripada YB Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS, banyak panggilan saya terima bertanya kenapa saya tinggalkan UMNO, kenapa saya tak kenang budi UMNO dan sebagainya.

“Saya tidak tinggalkan atau lompat dari UMNO… saya dibuang oleh orang tertentu dari UMNO. 

"Saya sahut pembuangan itu sebagai seorang pejuang. Saya memilih untuk terus berjuang,” katanya dalam hantaran Facebook kelmarin.

Annuar menjelaskan, beliau dibuang ketika berada di kemuncak khidmat kepada parti, termasuk semasa menjadi menteri, ketua bahagian dan Setiausaha Agung UMNO.

“Sewaktu menjawat dan berkhidmat, saya terus aktif untuk parti. 

"Malah berani saya katakan, saya berperanan bersama kawan berunding sehingga UMNO yang kalah teruk pada PRU14 kembali bertakhta di Putrajaya dan UMNO mengisi jawatan Perdana Menteri semula. 

"Saya boleh menulis buku mengenainya, 1001 cerita yang belum pernah diceritakan yang memberi laba besar kepada UMNO,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15, beliau kekal setia dan tetap bekerja keras membantu rakan-rakan parti, malah menolak tawaran daripada parti lain.

Namun katanya, beliau tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pemimpin yang membelakangkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) berhubung dasar “No Anwar dan No DAP”.

“Saya menentang usaha mereka yang membelakangkan keputusan PAU bahawa dasar UMNO ialah ‘No Anwar dan No DAP’. 

"Saya menentang tindakan rundingan gelap Ogos dan September 2020 dengan Anwar dan DAP. 

"Saya juga tidak bersetuju UMNO berpecah semula dengan PAS dan Bersatu serta membelakangkan semangat Muafakat Nasional,” ujarnya.

Annuar menegaskan beliau dibuang kerana menolak konsep jajaran baharu dalam parti.

“Maka sebagai orang yang berjuang atas prinsip dan idealisme, saya bersedia dan reda dibuang. Prinsip perlu saya dahulukan,” katanya.

Beliau turut melahirkan kesyukuran kerana diterima dengan baik oleh PAS yang bukan sahaja memberikan ruang, malah kepercayaan kepadanya untuk meneruskan perjuangan politik.

“Alhamdulillah walaupun saya dibuang dan terhina, PAS telah menerima saya. 

"Malah bukan sahaja diterima dengan baik, tetapi PAS memberi pelbagai mandat kepercayaan kepada saya. 

"Saya bersyukur mendapati idealisme perjuangan saya, yang sudah tiada dalam UMNO sekarang, makin subur dalam PAS,” katanya.

Tambahnya, perjuangan PAS lebih mendahulukan dasar parti berbanding kepentingan peribadi, mengutamakan penyatuan ummah dan komited terhadap penghayatan politik berteraskan Islam.

“Saya gembira budaya buruk seperti politik wang, ‘wang adalah raja’, politik cerca dan fitnah sesama sendiri, politik puak, politik kleptokrat, politik kolusi, korupsi dan nepotisme, berebut kuasa – tidak ada dalam PAS. 

"Banyak nilai-nilai mulia disuburkan dalam PAS,” katanya.

Annuar juga menegaskan beliau tidak memusuhi UMNO dan berpendapat PAS wajar menjadi pilihan rakyat.

“PAS tidak memusuhi UMNO dan orang UMNO, seperti saya yang tidak memusuhi UMNO. 

"PAS juga terus mendokong aspirasi Muafakat Nasional. PAS wajar menjadi pilihan kita semua, insya-Allah,” katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan