Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menegaskan bendera rejim Israel tidak wajar dikibarkan di mana-mana lokasi di negara ini walaupun sekadar gimik persembahan kerana ia menghina sensitiviti rakyat yang membela nasib Palestin.
Beliau menegaskan, tindakan tersebut jelas tidak menghormati penderitaan rakyat Palestin yang terus dizalimi oleh rejim berkenaan.
“Taraf bendera negara 'isewel' ni hanyalah untuk dipijak dan dibakar sahaja terutama di dalam negara kita ini dan bukan untuk dikibarkan tidak kira secara gimik ataupun apa.
“Bendera adalah lambang kehormatan sebuah negara, maka dengan apa yang telah dilakukan oleh rejim jahanam pada saudara kita di sana, mereka tidak langsung layak untuk dapat penghormatan dari kita,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.
Dr. Akmal turut menggesa pihak penganjur yang dikatakan mengibarkan bendera Israel sebagai gimik persembahan agar tampil memohon maaf atas tindakan yang disifatkan sebagai keterlaluan itu.
“Jadi saya menggesa dan mendesak agar penganjur yang dikatakan mengibarkan bendera isewel sebagai gimik persembahan itu boleh meminta maaf atas salah keterlanjuran.
“Tidak kira siapa atau apa sekalipun, kita tidak pernah langsung dan tidak akan langsung memberikan penghormatan pada rejim laknatullah ini!!!” tegasnya.

0 Ulasan