SARA, STR kesinambungan BR1M zaman Najib - Rafizi

 

Bantuan kepada rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) wajar dijadikan dasar tetap negara berkebajikan, bukannya dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak.

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, inisiatif bantuan Kerajaan Madani ketika ini masih menyerupai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, setiap kerajaan pasti akan mempertahankan program kebajikan untuk rakyat, namun apa yang penting ialah kemampuan kerajaan menambah baik pelaksanaannya.

"Ini tak boleh jadi modal politik dah, ia sama – setiap kerajaan akan mempertahankannya (program kebajikan). Isunya ialah kerajaan mana yang berjaya menambah baik (inisiatif bantuan tersebut). 

"Buat masa sekarang sistem bantuan tunai kita, yang ini belum diinstitusikan lagi,” katanya dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri kelmarin.

Rafizi menjelaskan, penginstitusian program kebajikan seperti STR dan SARA akan membolehkan agihan dibuat secara sistematik dan automatik, tanpa memerlukan rakyat memohon setiap kali kerajaan baharu dibentuk.

Beliau memberi contoh sistem pendidikan yang kini tidak lagi memerlukan ibu bapa memohon untuk menghantar anak ke sekolah, sebaliknya hanya perlu melalui proses pendaftaran.

"Setakat ini STR atau SARA masih lagi dilihat sebagai kesinambungan BR1M yang dulu, dan selepas ini kalau kerajaan bertukar, (inisiatif tersebut) jadi benda lainlah pula (namanya), bukan STR SARA. 

"Tapi kalau diinstitusikan, untuk siapa yang layak, setiap kerajaan akan bayar (tanpa terjejas oleh pertukaran kerajaan)," katanya.

Pada masa yang sama, Rafizi mengkritik keputusan kerajaan menyalurkan bantuan awal persekolahan secara tunai kepada ibu bapa melalui guru dan bukan melalui akaun bank.

Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja satu kemunduran, malah menambah beban tugas guru yang sepatutnya memberi tumpuan kepada pengajaran.

“Tapi bagi cikgu, cikgu marah kot sebab tugas cikgu ialah untuk mengajar. Lepas ni jadi ‘pegawai kebajikan’ pula,” katanya.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, tindakan mengembalikan kaedah lama pengagihan bantuan hanya memberi kelebihan kepada ahli politik yang mahu meraih populariti seperti ketika pelaksanaan BR1M dahulu.

Tambahnya, kerajaan Madani perlu tampil dengan strategi baharu untuk menambat hati rakyat tanpa mengulangi pendekatan terdahulu yang bersifat populis.

“Saya rasa kerajaan Datuk Seri Anwar ni, kita patut jauh ke depan lagilah, jauhi gaya lama yang rakyat kena beratur ambil bantuan,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2026 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bantuan awal persekolahan sebanyak RM150 secara tunai kepada ibu bapa, membabitkan 5.2 juta murid sekolah kerajaan dengan implikasi kewangan RM800 juta.

Dalam perkembangan lain, Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR berkata, pengumuman mengenai pendidikan percuma oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh memburukkan lagi kedudukan kewangan institusi itu yang kini menanggung hutang dijamin kerajaan sebanyak RM41 bilion.

"Masalah hutang PTPTN RM41 bilion tak selesai lagi. Ia umpama ambil duit dari poket kiri (masuk) ke poket kanan. Kalau tak berhati-hati masalah PTPTN yang sedia ada akan semakin membengkak,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya menumpukan kepada usaha mengutip semula pinjaman sedia ada dan mencari penyelesaian menyeluruh.

“Saya gemar kepada pendekatan menyeluruh... kalau tak ia sekadar kosmetik ataupun pengumuman populis. Yang itu yang kita bimbang dengan PTPTN,” katanya lagi.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan