Tak patut hidang arak dalam majlis rasmi kerajaan - DUPP

 

Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyelar tindakan menghidangkan minuman beralkohol dalam majlis rasmi kerajaan baru-baru ini.

Majlis tersebut, iaitu Program Global Travel Meet 2025, dikatakan menyediakan hidangan arak kepada tetamu dalam acara rasmi yang diadakan bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Ketua DUPP, Datuk Ahmad Yahaya berkata, penyediaan minuman beralkohol dalam majlis rasmi kerajaan tidak sepatutnya berlaku kerana ia bercanggah dengan nilai budaya dan adab ketimuran yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.

“DUPP ingin mengingatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bahawa hidangan minuman beralkohol seperti itu tidak patut ada dalam mana-mana acara rasmi kerana ia bertentangan dengan budaya ketimuran yang dipegang oleh Malaysia. 

"Bahkan, ia juga bukan sesuatu yang perlu dipromosi mewakili budaya rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media kelmarin.

Beliau turut mempersoalkan sama ada minuman arak kini dijadikan sebahagian daripada tarikan promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 seperti yang dirancang kementerian berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad melahirkan kekesalan terhadap tindakan kementerian yang menjalinkan kerjasama secara terbuka dengan Starbucks Malaysia, sedangkan syarikat itu sedang menjadi fokus boikot masyarakat dunia.

“Ketika rakyat Malaysia memfokuskan solidariti umat Islam Palestin dan Global Sumud Flotilla, tiba-tiba Kementerian di Malaysia secara terbuka mendukung kembali syarikat yang diboikot oleh rakyat dalam negara ini. 

"Adakah ia usaha membela taikun besar yang mengalami kemerosotan perniagaan disebabkan boikot rakyat Malaysia terhadap Starbucks khasnya dan rejim Zionis amnya?” ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan pendirian sebenar kerajaan dalam isu tersebut.

“DUPP ingin penjelasan, adakah ini wajah sebenar yang ingin ditampilkan oleh Kerajaan Madani? Satu sisi mereka kelihatan lantang bersama-sama rakyat dalam isu Palestin, satu sisi lain mereka juga turut mendukung produk yang telah membelasah umat Islam di sana tanpa henti. 

"Di mana mereka letak maruah pejuang umat Islam di Malaysia dalam isu Palestin?” katanya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan