Kita semua terhibur melihat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meluangkan masa mekalukan aksi tarian sumbang sebaik sahaja turun dari pesawat Air Force One baru-baru ini.
Trump berjaya mempamerkan imej yang sporting dan pandai mengambil hati jutaan rakyat Malaysia yang menyaksikan ketibaannya di negara ini.
Namun Trump kembali menunjukkan sisi angkuh dan kaki bulinya melalui perjanjian dagangan timbal balik yang dimeterai antara negaranya dan Malaysia.
Di atas kertas, perjanjian itu digambarkan sebagai usaha memperkukuh hubungan perdagangan dua hala dan membuka peluang pelaburan baharu.
Walau bagaimanapun apabila diteliti dengan lebih mendalam, perjanjian tersebut menterjemahkan keangkuhan AS menggunakan kekuatan ekonominya untuk membuli negara kecil demi kepentingan sendiri.
Di bawah perjanjian itu, Malaysia bersetuju untuk mengekalkan akses eksport bahan mentah strategik, termasuk elemen nadir bumi, ke pasaran AS tanpa sebarang sekatan atau kuota.
Langkah ini jelas memberi kelebihan besar kepada AS dalam rantaian bekalan global, terutama dalam sektor semikonduktor dan tenaga hijau.
Malaysia pula kekal sebagai pembekal bahan mentah, bukan pemain teknologi bernilai tambah tinggi. Dalam erti kata lain, kita hanya menjadi “kilang sumber”, bukan rakan kongsi setara dalam inovasi dan pemprosesan.
Lebih membimbangkan, tarif import barangan Malaysia ke AS masih kekal tinggi pada paras 19 peratus. Walaupun kerajaan mendakwa lebih 1,700 produk tempatan diberi pengecualian, kadar keseluruhan ini tetap membebankan pengeluar dan merencatkan daya saing eksport Malaysia.
Pada masa yang sama, syarat pembelian besar-besaran produk dan perkhidmatan AS seperti pesawat, gas asli cecair (LNG), dan komponen teknologi memperlihatkan betapa perjanjian ini bersifat berat sebelah.
Ia bukan lagi sekadar perdagangan bebas, tetapi perjanjian pembelian paksa yang menguntungkan syarikat-syarikat gergasi AS.
Hakikatnya, inilah taktik perdagangan yang sudah lama menjadi senjata utama AS iaitu menggunakan kuasa ekonomi untuk menekan, memaksa dan mengawal negara lain.
Negara itu sering bercakap tentang keadilan dan kebebasan pasaran, tetapi hakikatnya, mereka menundukkan negara lain dengan ancaman tarif, sekatan, atau syarat yang mengikat.
Sebelum rundingan perjanjian ini, AS sudah mengenakan tarif baharu terhadap beberapa barangan kita. Apabila rundingan berlangsung, kita seolah-olah tidak punya pilihan selain menandatangani demi mengelak tekanan lebih besar.
Situasi ini mengingatkan dunia bahawa AS bukanlah rakan dagang yang benar-benar adil, sebaliknya “kaki buli” nombor satu dalam sistem ekonomi global.
Mereka menuntut akses ke pasaran negara lain tanpa halangan, tetapi pada masa yang sama mengekalkan tarif tinggi dan kawalan ketat terhadap produk import ke pasaran mereka sendiri.
Malaysia seharusnya lebih berhati-hati dalam membuat komitmen yang boleh mengikat masa depan ekonomi negara.
Setiap perjanjian yang kelihatan indah pada pandangan mata kasar perlu diteliti dari segi kesan jangka panjang terhadap kedaulatan negara dan kebebasan dasar perdagangan kita.
Dunia mungkin tidak dapat mengubah sifat AS sebagai kuasa besar yang suka membuli, tetapi Malaysia masih boleh menunjukkan bahawa kita bukan sebuah negara kecil yang mudah dibuli.


0 Ulasan