Hassan bantah perjanjian berat sebelah AS-Malaysia

 

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim kesal dengan tindakan Putrajaya menandatangani perjanjian Jual Beli (SPA) gas asli cecair (LNG) dengan Amerika Syarikat (AS) ketika Presiden Donald Trump, menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di ibu negara baru-baru ini.

Beliau menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai satu bentuk penggadaian kedaulatan negara kepada kuasa besar tersebut.

“Bagaimana ini, Yang Amat Berhormat Tambun (Datuk Seri Anwar Ibrahim) apa sudah jadi? 

"Beratus tahun negara kita mempertahankan melawan Belanda, Portugis, Inggeris, kita merdeka, tapi hari ini Trump datang yang telah menjahanamkan Gaza bumi Palestin, kita sambut mereka dan kita serahkan kekayaan kita. 

"Ini pemunggahan harta negara miskin Malaysia kepada Amerika,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Hassan yang juga pemimpin PKR mengakui tidak pasti mengenai nasibnya selepas mengkritik kerajaan secara terbuka, namun tetap menegaskan pendiriannya menolak tindakan tersebut. 

Katanya, perjanjian itu memperlihatkan Malaysia tunduk kepada tekanan AS yang mengenakan syarat agar nadir bumi negara dijual secara eksklusif kepada mereka.

“Mana boleh dia (AS) mengenakan syarat sedemikian. Yang perunding-perunding ini menteri MITI, apa yang mereka rundingkan. 

"Ini penggadaian negara kita, ini memalukan,” tegasnya.

Beliau turut menuntut penjelasan daripada pihak kerajaan mengenai kandungan sebenar perjanjian tersebut, yang didakwanya berat sebelah dan merugikan rakyat.

“Betullah, kita memang ada sopan santun, berbudi bahasa, tetapi, tanpa sebutir bom, tanpa senapang, tanpa apa-apa, Trump turun ke bawah ini, kita menyerahkan ekonomi kita, menyerahkan kekayaan negara kita. 

"Satu trilion ringgit (perjanjian LNG) sedangkan setiap tahun kita berhempas pulas, Lembaga Hasil Dalam Negeri kena kutip, Kastam kena kutip semuanya nanti kita bagi kepada Amerika. 

"Petronas bergaduh dengan sesetengah negeri tak bayar royalti kepada Kelantan, tak bayar royalti kepada Terengganu, mungkin pada Sabah, mungkin pada Sarawak, kita bergaduh sesama sendiri, tapi berbilion kita bagi kepada Amerika, saya tidak bersetuju,” katanya.

Media melaporkan bahawa Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani perjanjian perdagangan timbal balik menyeluruh bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala, memperluas akses pasaran serta mempertingkat ketahanan rantaian bekalan.

Perjanjian itu dimeterai oleh Anwar dan Trump dalam pertemuan dua hala di sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dengan kenyataan bersama Rumah Putih menyebut ia akan membuka akses pasaran yang belum pernah berlaku sebelum ini kepada kedua-dua negara dan mengukuhkan hubungan jangka panjang antara Malaysia dan AS di bawah kerangka Perjanjian Perdagangan dan Pelaburan 2004.

Melalui perjanjian tersebut, Malaysia bersetuju memberikan akses pasaran keutamaan kepada eksport barangan perindustrian AS termasuk bahan kimia, jentera, logam dan kenderaan penumpang, selain produk pertanian seperti tenusu, ayam dan beras justeru menimbulkan perdebatan sama ada ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat atau sekadar menguntungkan pihak luar.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan