Belanjawan Kedah 2026 tidak penuhi keperluan rakyat

 

UMNO Kedah berpandangan Belanjawan Kedah 2026 berjumlah RM1.33 bilion yang dibentangkan semalam masih belum mencapai tahap bajet pembangunan yang benar-benar memenuhi keperluan rakyat.

Ketua Penerangannya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, bajet tersebut secara keseluruhan memperlihatkan jurang ketara antara hasil dan perbelanjaan negeri serta menunjukkan kebergantungan yang tinggi terhadap Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek infrastruktur dan kemudahan asas.

Menurut beliau, sumber hasil utama negeri masih tertumpu kepada tanah dan jualan aset, bukan daripada sektor industri atau pelaburan bernilai tinggi.

“Ini menandakan ekonomi Kedah masih belum keluar daripada struktur lama dan masih belum bergerak ke arah ekonomi moden,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Belanjawan tersebut dibentangkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor semalam.

Shaiful Hazizy menambah, sebahagian besar peruntukan dalam belanjawan itu digunakan bagi tujuan operasi dan tanggungan, sekali gus mengehadkan ruang untuk pelaburan baharu.

Beliau berkata, pelaksanaan banyak projek penting seperti jalan raya dan bekalan air masih bergantung kepada geran serta pinjaman daripada Kerajaan Pusat.

Dalam pada itu, katanya, pelbagai program sosial, pendidikan dan belia pula banyak dibiayai oleh badan luar termasuk zakat, yayasan dan syarikat korporat.

“Ini menggambarkan keupayaan kewangan kerajaan negeri yang masih lemah untuk menanggung tanggungjawab sosial secara menyeluruh,” katanya.

Katanya, Belanjawan Kedah 2026 juga belum memperlihatkan strategi jelas untuk menarik pelaburan besar atau membangunkan sektor baharu yang berpotensi menjana pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.







Catat Ulasan

0 Ulasan