KPM nafi soalan ujian bertutur SPM 2025 bocor

 


Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan kononnya berlaku kebocoran soalan ujian bertutur Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 seperti yang tular di media sosial.

Dalam satu kenyataan, KPM menjelaskan maklumat yang tersebar itu hanyalah senarai tema umum yang sememangnya terkandung dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).

Menurut kementerian itu, senarai tema berkenaan merupakan ramalan yang dibuat oleh guru dan calon peperiksaan.

“Ia tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan,” katanya.

KPM turut menegaskan kertas peperiksaan awam disediakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, sekali gus tidak boleh diakses oleh mana-mana pihak.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan menasihatkan calon SPM supaya kekal tenang dan menumpukan perhatian terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung.

“KPM berusaha memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM Tahun 2025 adalah terjamin,” jelas kenyataan itu.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan