Kerajaan tidak rayu keputusan mahkamah pemberian khas 40 peratus hasil Sabah

 

Kerajaan Persekutuan tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri diadakan hari ini bagi membincangkan penghakiman mahkamah berkaitan semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.

“Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, kerajaan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera,” katanya.

Dalam pada itu, AGC menjelaskan Kerajaan Persekutuan akan mengemukakan rayuan terhadap sebahagian Alasan Penghakiman Mahkamah Tinggi yang didakwa mengandungi kecacatan, termasuk tuduhan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajipan perlembagaan sejak 1974.

“Alasan penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, tidak teratur dari segi prosedur dan tidak berkadaran,” tambah kenyataan itu.

Jelas AGC, pandangan serta nasihat undang-undang telah dikemukakan kepada Jemaah Menteri bagi memastikan setiap tindakan lanjut berlandaskan prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan