Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ampang menarik balik kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti itu.
Setiausaha Bersatu Bahagian Ampang, Daing Mohamad Daing Makati berkata, keputusan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa bahagian yang diadakan pada 28 Oktober lalu.
Beliau berkata, mesyuarat itu turut mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan secara terhormat bagi memulihkan perpaduan dan keyakinan ahli terhadap masa depan parti.
Selain itu, katanya, Bersatu Bahagian Ampang juga menggesa supaya pelan transisi kepimpinan dilaksanakan dengan tertib dan inklusif agar parti kekal kukuh menjelang pilihan raya akan datang.
“Keputusan ini dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Bersatu Bahagian Ampang setelah mengambil kira pandangan dan aspirasi ahli di peringkat akar umbi yang mengharapkan perubahan demi kelangsungan perjuangan parti yang dicintai,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Menurut beliau, mesyuarat pada 28 Oktober itu turut membincangkan secara terbuka dan mendalam mengenai perkembangan terkini berkaitan hala tuju serta kestabilan dalaman parti.
“Kita juga menginsafi bahawa kegagalan kepimpinan tertinggi, khususnya Presiden dalam menangani dan menasihati kedua-dua pemimpin tersebut untuk memperkukuh hubungan dalaman parti telah membawa kepada perpecahan yang semakin meruncing dalam kalangan akar umbi serta kepimpinan bahagian,” katanya.
Beliau menjelaskan, pergolakan dalaman Bersatu semakin ketara, khususnya membabitkan hubungan antara Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dengan sebahagian besar kepimpinan di peringkat bahagian di seluruh negara.

0 Ulasan