Cadangan 2 guru 1 kelas tak realistik, tambah beban

 

Gambar hiasan: ChatGPT

Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan konsep dua guru satu kelas disifatkan tidak realistik dan berpotensi menambah beban kepada tenaga pengajar sedia ada, ketika negara masih berdepan kekurangan lebih 20,000 guru.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pelaksanaan dasar itu kelihatan seperti satu eksperimen sosial yang tidak mengambil kira realiti sebenar di sekolah-sekolah seluruh negara.

“Apa sebenarnya yang kerajaan cuba buktikan? Dalam negara yang masih kekurangan lebih 20,000 guru, sekolah bocor, meja patah dan kelas sesak 40 orang satu bilik, tiba-tiba datang idea ‘dua guru satu kelas’. 

"Nak selesaikan masalah, tapi tambah beban berganda,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau berkata, konsep mengajar bersama lazimnya diamalkan di luar negara bagi membantu murid berkeperluan khas seperti autisme dan disleksia, namun KPM seolah-olah mahu memperluaskannya kepada semua murid tanpa mengambil kira kemampuan logistik dan kewangan negara.

"Tapi di Malaysia, semua murid pun dapat ‘layanan khas’. Dua guru, satu kelas, kononnya reformasi. 

"Realitinya? Logistik mustahil, bajet tak cukup, tenaga pengajar pun belum wujud,” katanya.

Ahmad Fadhli turut mempersoalkan keutamaan KPM apabila Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini mendedahkan 46 projek kementerian terbengkalai, sedangkan dasar baharu itu memerlukan ribuan guru tambahan serta latihan besar-besaran.

NUTP sendiri pun kata guru masih ‘keliru’, diberitahu dasar, tapi tiada panduan. 

"Saya bimbang, Malaysia bukan menuju ‘reformasi pendidikan’ tapi eksperimen sosial versi kementerian sendiri,” katanya.

BACA LAGI 






Catat Ulasan

0 Ulasan