Jangan kompromi integriti dalam siasatan bekas Setpol Kanan PMX - MCW

 

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa siasatan segera, telus dan menyeluruh berhubung dakwaan pemberian wang RM600,000 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.]

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan integriti Pejabat Perdana Menteri dan berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah.

“Dakwaan seorang pegawai politik kanan menerima ratusan ribu ringgit adalah kategori rasuah berisiko tinggi kerana ia melibatkan akses terus kepada Perdana Menteri, kemungkinan wujud unsur cash-for-access, potensi penyalahgunaan kuasa serta kelemahan kawal selia terhadap lantikan politik,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menyiasat segera tanpa gentar atau pilih kasih dengan meneliti aliran wang, memanggil semua pihak terlibat, melakukan siasatan gaya hidup serta mengumumkan perkembangan siasatan secara berkala.

“SPRM mesti menunjukkan bahawa undang-undang adalah sama untuk semua, termasuk pegawai yang berada paling dekat dengan Perdana Menteri,” katanya.

Jais turut menekankan perlunya penambahbaikan sistemik dalam Pejabat Perdana Menteri melalui pelaksanaan Pelan Reformasi Integriti Pejabat Perdana Menteri (PMO-IRP) yang merangkumi kod etika lantikan politik, Kerangka Lantikan Politik Berintegriti (PAIF) serta pemantauan Unit Integriti secara bulanan.

“Pejabat Perdana Menteri mesti menjadi zon integriti tertinggi, bukan zon risiko,” katanya.

Beliau menegaskan MCW tidak memihak kepada mana-mana parti atau individu. 

“Apa jua dakwaan melibatkan pegawai politik kanan mesti disiasat dengan ketelusan penuh, proses yang adil dan keputusan bebas daripada pengaruh politik. 

"Kredibiliti kerajaan bergantung kepada keberanian bertindak, bukan kenyataan semata-mata,” katanya.

Jais turut menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menunjukkan kepemimpinan berasaskan integriti. 

“Sebagai peneraju Kerajaan Madani, Perdana Menteri mesti memastikan tiada kompromi terhadap integriti, tiada perlindungan politik terhadap pegawai yang disiasat, dan semua dakwaan disiasat secara terbuka serta profesional. 

"Jika kerajaan ingin mengekalkan keyakinan rakyat, tindakan mesti mengatasi persepsi.

“Ini masanya kerajaan menunjukkan bahawa Malaysia benar-benar serius dalam melawan rasuah, tanpa mengira kedudukan atau pangkat,” tegasnya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan