PKR Melaka yakin tohmahan terhadap Shamsul Iskandar tidak berasas

 

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka menegaskan pendirian teguh bersama kepimpinan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin susulan dakwaan yang tular melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Setiausahanya, Mohd. Khuzaire Mohd. Kamal berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai dakwaan tersebut dan mahu mengelakkan kekeliruan serta persepsi tidak tepat.

“Shamsul Iskandar telah menyatakan kesediaan penuh untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Beliau secara terbuka menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, sehingga kini tiada bukti yang menunjukkan wujudnya elemen rasuah. 

“Setakat ini, tidak terdapat sebarang dokumen, surat sokongan atau bukti pertukaran manfaat yang boleh mengaitkan beliau dengan penyalahgunaan kuasa. 

"Dakwaan yang tersebar hanyalah bersifat andaian dan persepsi,” katanya.

Mohd. Khuzaire menegaskan, MPN PKR Melaka menyokong penuh tindakan SPRM menjalankan siasatan bebas. 

“Sebagai institusi profesional, SPRM wajar menyiasat setiap dakwaan. Kami yakin siasatan ini akan membuktikan bahawa dakwaan tersebut tidak berasas,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa persepsi awam tidak boleh menggantikan fakta. 

“MPN PKR Melaka menasihatkan semua pihak agar tidak membuat penilaian awal atau menyebarkan kenyataan pramatang sebelum siasatan selesai dilakukan,” katanya.

Mohd. Khuzaire berkata, MPN PKR Melaka yakin terhadap integriti, prinsip serta komitmen Shamsul Iskandar dalam menjalankan amanah parti.







Catat Ulasan

0 Ulasan