Muhyiddin patut pujuk menantu balik Malaysia kalau benar-benar bersih - Puad

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan dakwaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ceramah di Felda Umas Sebatik yang menggambarkan dirinya sebagai bekas Perdana Menteri kerajaan tanpa rasuah, sambil menegaskan rekod pentadbiran tersebut tidak sebersih seperti digambarkan.

Beliau berkata, kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa Muhyiddin “hari ini bukan seperti dulu” menunjukkan sikap tidak konsisten, sedangkan masalah sebenar adalah kegagalan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) semasa tempoh pandemik.

“Sebenarnya Wan Saiful silap besar. Muhyiddin tetap sama. Dulu, kini dan akan datang. Masalahnya Wan Saiful dan gengnya tutup mata sebelah. Buat tak nampak. Bila tersepit baru buka dua belah mata.

"Baru sekarang Wan Saiful persoalkan kenapa menantu Muhyiddin hilang dan tidak balik balik.

"Tetapi dalam ceramahnya semalam bersama warga Felda Umas Sebatik, Muhyiddin mendabik dada kononnya dia PM kerajaan tanpa rasuah. Kita cabar Muhyiddin pujuk menantu dia balik dan serah diri. Kenapa takut?” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Menurut beliau, dakwaan Muhyiddin bahawa pentadbiran 17 bulan PN berjaya mengatasi pandemik tidak selari dengan fakta apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak berkesan menyaksikan angka kematian Covid-19 melonjak daripada 2,800 kepada 5,768 kes dalam tempoh 38 hari selepas PKP penuh diumumkan.

Beliau menambah, indeks Pengendalian Covid-19 yang diterbitkan Bloomberg turut meletakkan Malaysia sebagai negara ketiga tercorot daripada 53 ekonomi utama dunia, sekali gus mencerminkan kegagalan mengurus krisis kesihatan ketika itu.

Mohd. Puad berkata, kemuncak kelemahan pentadbiran tersebut dapat dilihat apabila rakyat terpaksa memacak #BenderaPutih akibat terputus bekalan makanan, dan perkara itu sehingga kini masih segar dalam ingatan warga Sabah.

BACA LAGI 

 





Catat Ulasan

0 Ulasan