Nga Kor Ming minta maaf kepada media

 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengakui kesilapan dan memohon maaf secara terbuka kepada pihak media susulan tindakannya yang dianggap kasar terhadap seorang wartawan dalam satu video tular baru-baru ini.

Dalam sidang media di Ipoh yang disiarkan menerusi laman Facebook rasminya semalam, beliau menegaskan menerima segala teguran dengan hati terbuka dan menafikan mempunyai sebarang niat untuk menyinggung mana-mana pihak.

“Sekiranya ada rakan-rakan media yang terasa hati dengan kata-kata saya, saya tarik balik dan mohon maaf. 

"Mereka yang mengenali saya selama 30 tahun tahu bahawa saya sentiasa menghormati kebebasan media dan hak bersuara,” katanya.

Kor Ming menjelaskan kejadian ketika pra-pelancaran program pencahayaan ‘I Lite U’ di Bukit Bintang itu berlaku akibat salah faham, dan beliau bersedia bertemu dengan wakil media berkenaan bagi menyelesaikan isu tersebut secara baik.

Dalam video yang tular, Kor Ming dilihat mempersoalkan soalan wartawan berhubung penggunaan bahasa Inggeris sebagai tema program berkenaan, sebelum menyatakan akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu. 

Tindakan tersebut mencetuskan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan media yang menyifatkannya sebagai tekanan terhadap kebebasan media.







Catat Ulasan

0 Ulasan