Puad minta Wan Fayhsal jangan guna nama Najib


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menegur Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar tidak menggunakan nama Datuk Seri Najib Razak dalam isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menurut Mohd. Puad, dakwaan bahawa Najib dipengaruhi oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menandatangani SD tersebut adalah tidak benar dan menyeleweng daripada fakta sebenar.

“Saya mengingatkan Wan Ahmad Fayhsal jangan jual nama Najib yang kononnya dipengaruhi Hamzah untuk tandatangan SD menyokong Muhyiddin PM ke-8. 

"Saya MKT dan sering bersama Najib. Saya mengetahui apa yang berlaku. Najib bertindak secara kolektif. Dia patuh pada keputusan parti. 

"Tidak ada sebab Najib akan mendengar pujukan Hamzah kaki lompat dan pengkhianat UMNO,” katanya dalam hantaran Facebook semalam.

Beliau menjelaskan, keputusan yang dibuat oleh Najib dan UMNO ketika itu adalah bersifat taktikal, iaitu menjatuhkan lawan satu demi satu bermula dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0.

“Ia terbukti benar. 17 bulan lepas itu giliran Muhyiddin pula jatuh apabila lapan Ahli Parlimen UMNO termasuk Najib tarik sokongan terhadap Muhyiddin,” katanya lagi.

Jelas Mohd. Puad, langkah itu membuktikan Najib dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Nasihat saya kepada Wan Ahmad Fayhsal berhenti buat pendedahan. Takut lagi banyak bohong. 

"Pujuk 22 Ahli Parlimen Bersatu buat SD menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu,” tegasnya.

BACA LAGI





Catat Ulasan

0 Ulasan