Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah adalah adalah bercelaru dari segi undang-undang.
Menurut beliau, penjelasan Anwar di Parlimen hari ini tidak menjawab persoalan pokok berhubung keputusan mahkamah bertarikh 17 Oktober lalu.
“Saya mengalu-alukan dan menghargai kesanggupan serta keberanian Perdana Menteri menjelaskan perkara yang tersebut di atas di Parlimen pada pagi Khamis 13 November 2025.
"Namun adakah penjelasan itu telah menjawab isu yang berbangkit dari keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 itu? Jawapannya tidak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hassan, Perdana Menteri memaklumkan kepada Parlimen bahawa Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas pada 11 November lalu memutuskan untuk tidak merayu selepas mendengar penjelasan dan nasihat Peguam Negara.
Katanya, keputusan itu menimbulkan kecelaruan dari segi undang-undang kerana kerajaan menerima keputusan mahkamah tetapi pada masa sama tidak bersetuju dengan beberapa perkara dalam alasan penghakiman.
“Dalam satu aspek, Perdana Menteri berkata kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkenaan isu 40 peratus tuntutan hasil kepada Sabah, tetapi beliau juga memberitahu Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dinyatakan oleh hakim dalam alasan penghakimannya.
“Misalnya, hukuman yang dinyatakan di dalam alasan penghakiman itu membawa tafsiran oleh Perdana Menteri bahawa semua Perdana Menteri yang lalu dari tahun 1974 hingga sekarang dan semua Ketua Menteri Sabah yang lalu dalam tempoh yang sama dihukum oleh keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu,” jelasnya.
Hassan menegaskan, kekeliruan itu berpunca daripada kecuaian dan kegagalan Peguam Negara memberi nasihat yang tepat kepada Perdana Menteri serta Jemaah Menteri.
“Adakah Perdana Menteri dan Jemaah Menteri menyedari aturan mahkamah bahawa jika kerajaan tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu, ia bermakna kerajaan persekutuan bersetuju dengan keputusan hakim?” katanya.
Beliau berkata, Perdana Menteri tidak seharusnya menyatakan kerajaan bersetuju dengan keputusan mahkamah tetapi tidak bersetuju dengan sebahagian alasan penghakiman kerana kedua-duanya saling berkait.
“Keputusan mahkamah dibuat berasaskan alasan penghakiman yang dikemukakan oleh hakim.
"Jika Kerajaan Persekutuan tidak bersetuju dengan mana-mana bahagian alasan penghakiman, langkah sewajarnya ialah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan dan seterusnya ke Mahkamah Persekutuan kerana isu ini melibatkan perlembagaan,” katanya.
Menurutnya, apabila kerajaan memutuskan tidak merayu, ia perlu mematuhi sepenuhnya keputusan mahkamah tanpa sebarang pengecualian.
“Jika Kerajaan Persekutuan gagal mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu itu, maka kerajaan telah tidak menghormati atau menghina mahkamah.
"Inilah kesannya apabila keputusan dibuat secara terburu-buru tanpa rayuan,” ujarnya.
Hassan berkata, Parlimen juga tidak boleh campur tangan dalam perkara itu kerana prinsip pemisahan kuasa, keluhuran undang-undang dan kedaulatan Perlembagaan mesti dipertahankan.
“Tidak ada manfaat Perdana Menteri datang ke Parlimen menyatakan bahawa beberapa butiran dalam alasan penghakiman bersifat menghukum kerajaan pusat dan negeri yang terdahulu tetapi kerajaan telah memutuskan untuk tidak merayu.
"Parlimen tidak boleh buat apa-apa,” katanya.
Beliau menambah, tindakan kerajaan tidak membuat rayuan boleh dianggap sebagai kecuaian Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu penting berkaitan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

0 Ulasan