Bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memaklumkan beliau menarik diri daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata, keputusan itu telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
"Saya telah memberitahu YAB Presiden bahawa saya ingin memberi laluan kepada muka baharu dan anak tempatan Kota Belud untuk mewakili parti UMNO di DUN Tempasuk,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau, sepanjang tiga kali bertanding di Parlimen Kota Belud pada 2013, 2018 dan 2022, UMNO tetap memenangi undi di DUN Tempasuk walaupun tewas di kerusi Parlimen.
“Saya telah bertanding tiga kali di Parlimen Kota Belud (2013, 2018 dan 2022). Dua kali menang dan sekali kalah.
"Dalam ketiga-tiga pertandingan itu, UMNO tetap memenangi undi di DUN Tempasuk walaupun kalah di kerusi Parlimen.
"Saya percaya anak tempatan dari UMNO Kota Belud akan dapat menggalas tanggungjawab ini dengan cemerlang,” katanya.
Abdul Rahman turut menegaskan beliau akan terus berkhidmat dan membantu parti dalam kapasiti lain walaupun tidak lagi bertanding.
“Sebagai ahli parti, saya akan terus membantu parti melalui kapasiti yang lain. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada parti dan Ahmad Zahid sendiri yang telah mengumumkan pencalonan saya pada 9 November lalu.
"Begitu juga saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan penyokong UMNO di DUN Tempasuk atas sokongan yang telah diberikan kepada saya selama ini,” ujarnya.

0 Ulasan