PRN Sabah: BN tambah 4 lagi calon pasti menang

 


Barisan Nasional (BN) Sabah menambah empat lagi calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, menjadikan keseluruhan 45 calon akan bertanding mewakili gabungan itu setakat ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, langkah tersebut diambil bagi memperkukuh barisan kepimpinan serta meningkatkan kesiapsiagaan parti menjelang pilihan raya berkenaan.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan semasa serta hasil rundingan yang diperhalusi demi memastikan representasi BN di seluruh negeri lebih menyeluruh dan strategik.

“Kerusi-kerusi tambahan ini diputuskan selaras dengan aspirasi BN untuk memastikan representasi yang lebih menyeluruh, berimbang dan strategik, sesuai dengan keperluan rakyat serta dinamika politik negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Empat calon baharu yang diumumkan ialah Willey Lampaki bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau; Rahmah Jan Sulaiman (Kemabong); Datuk Chin Kim Hiung (Karamunting) dan Chaya Sulaiman (Kukusan).

Ahli Parlimen Kinabatangan itu menjelaskan, penambahan calon berkenaan mencerminkan komitmen berterusan BN Sabah untuk memastikan setiap komuniti menerima pembelaan dan khidmat terbaik daripada calon berwibawa serta bersedia menggalas amanah rakyat.

Beliau turut menyeru jentera parti di semua peringkat supaya menggandakan usaha dan melaksanakan gerak kerja secara tersusun, inklusif dan berfokus bagi memastikan kemenangan serta mandat rakyat kembali kepada BN.

Ahad lalu, BN Sabah mengumumkan senarai awal 41 calon dengan lebih 30 peratus terdiri daripada calon muda.

Jelas Bung Moktar, proses pemilihan calon dilakukan dengan teliti bagi menampilkan barisan terbaik yang berpengalaman, berwibawa, berketerampilan serta mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan