Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata hala tuju MIC juga semakin jelas apabila Presidennya, Tan Sri S. A. Vigneswaran sebelum ini menyatakan bahawa parti itu tetap akan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Katanya, keputusan perwakilan MIC menyerahkan mandat kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk menentukan arah politik parti menjadikan peralihan sokongan lebih mudah berlaku.
“Bukankah itu isyarat cukup jelas hala tuju MIC? Terutamanya apabila para perwakilan MIC serah kepada CWC untuk buat keputusan.
"Lagi mudah untuk Vicky buat pusingan U dari PN ke PH,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Menurut Mohd. Puad, MIC lebih rasional memilih Pakatan Harapan (PH) berbanding Perikatan Nasional (PN) kerana ia memberi ruang rundingan jawatan dan kerjasama yang lebih selaras dengan komitmen parti.
Beliau yakin MIC akan diterima masuk ke dalam blok kerajaan sebagaimana kes Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyertai PKR sebelum ini.
“Sudah pasti PMX akan terima MIC, sebagaimana Tengku Zafrul diterima masuk PKR. Apa-apa boleh bulldoze,” katanya.
Mohd. Puad turut mengingatkan bahawa perkembangan politik mutakhir menunjukkan desas-desus sering berubah, termasuk isu calon seperti Ruji Ubi yang pada awalnya dikatakan bertanding atas tiket BN tetapi akhirnya dicalonkan oleh PKR.

0 Ulasan